KANOWIT: Paras air di kawasan Rumah Lating Niggong, Nanga Sekerah, Sungai Poi dilaporkan meningkat antara satu hingga tiga kaki selepas hujan berterusan sejak pagi tadi (Isnin).
Menurut laporan rondaan yang dikeluarkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, pemeriksaan dilakukan antara jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari oleh pasukan yang diketuai Komander Operasi, PBK II (TBK I) Azri Hazmi.
Hasil pemantauan mendapati kawasan sekitar rumah panjang serta laluan masuk telah dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan pemindahan penduduk ketika ini.
“Trend air menunjukkan peningkatan, tetapi situasi masih dipantau rapi dan belum ada keperluan untuk memindahkan penghuni rumah panjang,” menurut laporan operasi tersebut.
Pasukan bomba menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max bagi menjalankan rondaan dan akses ke kawasan terjejas.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak memaklumkan bahawa pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang masih menunjukkan taburan hujan di kawasan terlibat.





