KUCHING: Sarawak berada pada landasan tepat untuk merealisasikan visi sebagai Rumah Panjang Silikon Bersepadu atau Integrated Silicon Longhouse bersandarkan kelebihan sumber asli dan kestabilan bekalan tenaga di negeri ini.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, peluang untuk merealisasikan hasrat tersebut amat luas memandangkan Sarawak memiliki kelebihan kompetitif dari segi tenaga hijau, bekalan elektrik serta sumber air yang mampan.
Beliau menjelaskan bahawa Sarawak sudah mempunyai pengalaman industri yang kukuh menerusi kehadiran syarikat global seperti X-FAB serta Melexis, sekali gus membolehkan negeri ini melangkah ke tahap yang lebih tinggi.
“Justeru, kami berharap dapat membantu dalam apa jua cara yang termampu dengan berkongsi pengalaman serta menarik lebih banyak pelabur ke Sarawak bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat MSIA yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Hotel Hilton Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Hai berkata, kehadiran beliau adalah untuk mengetuai misi perdagangan industri ke Sarawak bagi membolehkan syarikat terlibat memahami ekosistem pelaburan negeri ini secara lebih mendalam dengan meninjau keadaan sebenar di lapangan.
Menurutnya, sebanyak 25 syarikat menyertai misi berkenaan yang merangkumi firma multinasional, syarikat tempatan berskala besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai bidang termasuk automasi, kejuruteraan jitu serta latihan dan pembangunan.
“Kami mempunyai pengalaman luas di Semenanjung Malaysia dan banyak negara luar telah meminta maklum balas serta khidmat nasihat daripada kami. MSIA berpendapat kami mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara sendiri, khususnya Sarawak yang berhasrat muncul sebagai hab semikonduktor penting di peringkat global,” jelas beliau.
Menyentuh mengenai prospek masa depan industri semikonduktor di Malaysia, beliau menggariskan dua tumpuan utama iaitu pertumbuhan hasil industri di peringkat global dan prestasi eksport negara.
Menurut beliau, hasil global industri semikonduktor pada tahun 2025 meningkat kepada kira-kira USD770 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Manakala bagi tahun ini, pendapatan global industri semikonduktor dijangka melonjak kepada sekitar USD970 bilion dan menjelang 2027, nilainya diunjurkan melebihi USD1 trilion,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan, nilai eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia pada tahun lalu mencecah RM601 bilion, manakala nilai keseluruhan bagi 2025 dijangka meningkat kepada sekitar RM700 bilion meskipun data rasmi sepenuhnya masih belum dimuktamadkan.
“Pertumbuhan ini amat memberangsangkan dan membuka peluang luas kepada semua pihak termasuk Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada rantaian pertumbuhan industri semikonduktor global,” katanya lagi.
TAMAT

