KUCHING: Baru beberapa hari selepas rumah mereka diserang mercun, pasangan warga emas sekali lagi berdepan gangguan apabila kediaman mereka disimbah cat pada kira-kira jam 3.30 pagi tadi.
Lebih membimbangkan, kejadian terbaharu itu berlaku selepas insiden pertama didedahkan kepada umum, menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pasangan berkenaan yang kini dikatakan hidup dalam kebimbangan.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, berkata pihaknya menerima aduan kedua daripada pasangan warga emas itu susulan kejadian terbaharu berkenaan.
Katanya, gangguan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hutang yang melibatkan anak lelaki pasangan berkenaan, yang tidak lagi menetap di rumah itu.
“Keadaan tersebut menyebabkan pasangan warga emas berkenaan terpaksa menanggung akibat daripada masalah hutang yang bukan melibatkan mereka secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kejadian pertama membabitkan serangan mercun terhadap rumah pasangan itu dan didedahkan Milton dalam sidang media pada 3 Oktober lalu.
Milton berkata, walaupun tiada kecederaan fizikal dilaporkan dalam kedua-dua kejadian, gangguan berulang berkenaan menyebabkan pasangan terbabit mengalami tekanan emosi selain bimbang terhadap keselamatan mereka.
Menurutnya, kejadian terbaharu itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan gangguan masih berlaku walaupun perkara berkenaan sudah dibawa kepada perhatian umum.
Beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan berkenaan dan menegaskan bahawa setiap usaha mendapatkan semula hutang mesti dilakukan melalui saluran undang-undang.
“Walaupun hutang perlu dibayar, usaha mendapatkan semula hutang mesti mengikut saluran undang-undang dan tidak boleh melibatkan perbuatan membakar, merosakkan harta benda, mengugut atau mengganggu dalam apa jua bentuk,” katanya.
Beliau turut menggesa polis memandang serius kejadian itu, menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Milton mengingatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan pinjaman daripada pemberi pinjaman wang haram.
Katanya, keputusan meminjam daripada pihak berkenaan bukan sahaja boleh mengundang masalah kepada peminjam, malah berpotensi mendedahkan ahli keluarga kepada gangguan dan ancaman keselamatan.



