KUCHING: Penduduk yang rumah mereka mengalami kerosakan bumbung akibat angin kencang di kawasan Kuching Selatan boleh memohon bantuan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, perkara itu susulan tindakan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang memaklumkan kepada JPBNS untuk mempertimbangkan bantuan sepatutnya.
“Angin kencang beberapa hari lalu menyebabkan kerosakan pada bumbung beberapa rumah di kawasan Kuching.
“Selepas menilai keadaan di lapangan, kami segera membawa perkara ini kepada JPBNS supaya bantuan dapat disalurkan kepada keluarga yang terjejas,” katanya selepas turun padang meninjau kawasan terjejas serta menilai tahap kerosakan kediaman penduduk, hari ini.

Menurutnya, selepas menerima taklimat keadaan penduduk terjejas, JPBNS meminta MBKS mendaftarkan mereka sebelum senarai berkenaan dikemukakan bagi pertimbangan dan tindakan lanjut.
“Kami berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga terjejas dan membantu mereka membaiki kerosakan rumah segera,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, MBKS akan membantu penduduk terjejas dalam proses pendaftaran serta mengumpulkan maklumat dan dokumen sokongan sebelum permohonan dikemukakan kepada JPBNS.
“Penduduk terjejas perlu mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon serta gambar yang jelas menunjukkan kerosakan bumbung.
“Anda perlu membuat pendaftaran secepat mungkin bagi membolehkan MBKS menyusun dan mengemukakan permohonan kepada JPBNS tanpa kelewatan,” katanya.
Penduduk terjejas boleh mendapatkan bantuan pendaftaran daripada Ahli Majlis MBKS, Cr Eric Tay di talian 019-889 9186, Cr Chai Ju Loon (012-899 6868), Cr Albert Tay (019-829 1211) dan Cr Judy Kho (016-859 1592).
Permohonan turut boleh dikemukakan kepada MBKS melalui e-mel mayor@mbks.gov.my atau WhatsApp 011-1988 5962.


