KUCHING: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Semariang Batu di sini, petang tadi.
Menurut Komander Operasi PBK II Rahman Abang Deni, bagaimanapun insiden pada jam 3.40 petang itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, susulan kesemua penghuni rumah tidak berada di kediaman ketika kejadian.
‘’Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 3.42 petang,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rahman, sejurus tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat struktur separuh kekal yang telah terbakar 80 peratus.
Kebakaran katanya, bermula daripada tingkat atas rumah tersebut.
‘’Pasukan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke unit rumah bersebelahan dengan bantuan anggota dari BBP Padungan.
“Penghuni rumah tidak berada di rumah semasa kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,’’ ujarnya.
Tambah Rahman lagi, setelah selesai kerja-kerja ‘overhaul’ dan memastikan tiada punca nyalaan di lokasi, pasukan kemudian bertolak balik ke balai.

