Rumah terbuka tidak dibenarkan

KUCHING: Tiada halangan untuk umat Islam di Sarawak menyambut Aidilfitri, namun rumah terbuka tetap tidak dibenarkan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kunjungan ke rumah semasa perayaan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.

“Sambut hari raya dibenarkan, namun tiada rumah terbuka dengan bilangan yang hadir separuh daripada kapasiti rumah.

“Jangan melanggar peraturan yang ditetapkan dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk berkunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan Pantai Damai di Kampung Rampangi Fasa 1, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, sambutan hari raya yang dibenarkan di Sarawak adalah dari hari pertama hingga ketujuh.

Sementara itu menurutnya, ziarah tanah kubur pula tidak digalakkan semasa Aidilfitri.

“Kalau hendak menzirahi kubur, hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ia termasuk bilangan individu yang menziarah tidak melebihi lima orang dalam satu-satu masa selain tidak melebihi 20 minit,” katanya.

Suara Sarawak