ARTIKEL

FADILLAH ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival 3K Petra Jaya, di sini, hari ini.

Rundingan komersial PETRONAS dan PETROS perlu dimuktamadkan – Fadillah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rundingan komersial di antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) perlu dimuktamadkan segera bagi memudahkan kemasukan pelaburan serta aktiviti berkaitan minyak dan gas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun tiada tempoh khusus ditetapkan namun asas persetujuan telah dicapai melalui Deklarasi Bersama yang dicapai PETRONAS-PETROS tiga bulan lalu.

“Deklarasi sudah ada. Namun, aspek perniagaan di antara PETRONAS dan PETROS masih dalam rundingan dan belum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival 3K Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang memaklumkan di Parlimen bahawa terma serta mekanisme pelaksanaan deklarasi bersama masih belum dimuktamadkan meskipun hampir tiga bulan ditandatangani.

Untuk rekod, Deklarasi Bersama berkenaan telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Mei lalu.

Deklarasi itu menjadi asas kepada pembentukan rangka kerja kerjasama di antara PETRONAS dan PETROS, termasuk penyelarasan prinsip utama berkaitan pengagihan gas di Sarawak.

Semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang relevan akan wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak terlibat dalam aktiviti industri gas di negeri ini.

PETROS dilantik sebagai agregator gas bagi pasaran domestik Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025 iaitu satu pelantikan yang akan diiktiraf oleh semua pemain industri berkaitan pengedaran dan pembekalan gas dalam negeri.

Sementara itu, bagi perniagaan gas asli cecair (LNG), PETRONAS akan terus memainkan peranan dalam keseluruhan rantaian aktiviti dari sektor huluan hingga penjualan ke pasaran antarabangsa.

Segala perjanjian sedia ada di antara PETRONAS atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga dalam urusan penjualan LNG juga akan terus berkuat kuasa tanpa sebarang gangguan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU