ARTIKEL

Rundingan PETRONAS-PETROS bakal capai kata sepakat dalam masa terdekat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam masa terdekat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, isu berbangkit antara PETRONAS dengan PETROS itu menemui titik damai apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sepakat menyelesaikannya secara rundingan.

“Perkara itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.

“Perdana Menteri dan Premier juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan.

“Ia seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk memudahkan rundingan kedua-dua syarikat minyak dan gas itu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, pertemuan itu diadakan di Perdana Putra, Putrajaya, semalam, dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh Premier bersama kepimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama PETRONAS dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” tambah kenyataan itu.

Ia merupakan langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai pemain utama dalam sektor tenaga serantau.

Pendekatan ini dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam pengurusan sumber asli dan pembangunan ekonomi jangka panjang negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU