ISTANBUL, Türkiye: Presiden Rusia, Vladimir Putin, sekali lagi menegaskan kesediaan Moscow untuk kembali ke meja rundingan tentang Ukraine.
Namun demikian, beliau menekankan bahawa membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat (AS) adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.
Bercakap kepada pemberita di St Petersburg pada Rabu, Putin menekankan kepentingan rundingan antara delegasi Rusia dengan AS di Riyadh pada Selasa.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi kerana menjadi tuan rumah bagi perbincangan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita, TASS.
Putin turut memaklumkan bahawa dalam beberapa hari akan datang, beliau bercadang untuk menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, secara peribadi bagi menyampaikan penghargaan itu.
“Matlamat pertemuan AS-Rusia di Riyadh adalah untuk meningkatkan kepercayaan bersama,” kata Putin.
Beliau menegaskan bahawa tanpa pemulihan kepercayaan, penyelesaian krisis Ukraine adalah mustahil.
Menyentuh tentang kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump, Putin berkata beliau terbuka untuk berbincang tetapi menegaskan bahawa persiapan yang teliti diperlukan.
“Pertemuan semata-mata tidak mencukupi.
“Isu utama, termasuk Ukraine, perlu dibincangkan,” katanya.
Putin menambah bahawa beliau tidak dapat menentukan bila pertemuan itu mungkin berlangsung.
Beliau turut mengulas tentang perubahan pendirian Trump terhadap Ukraine.
Menurutnya, walaupun Presiden AS itu pada awalnya berjanji untuk menyelesaikan konflik dengan cepat, pendiriannya disesuaikan selepas menerima taklimat presiden, sesuatu yang dianggapnya normal.
Bercakap tentang hubungan dengan Eropah dan Ukraine, Putin menegaskan bahawa Moscow tidak pernah menolak dialog.
“Sebaliknya, pihak Eropah yang memutuskan hubungan, manakala Kyiv sendiri melarang dirinya daripada berunding dengan Rusia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada perantara diperlukan dalam rundingan antara Rusia dengan AS.
Putin memuji hasil perbincangan di Riyadh, dengan menyatakan bahawa wakil AS terlibat tanpa sebarang prasangka atau kecaman.
Menyentuh isu geopolitik yang lebih luas, beliau berkata Moscow dan Washington telah mengambil langkah awal ke arah kerjasama di Timur Tengah, termasuk dalam perbincangan tentang Syria dan Palestin.
Beliau juga mengulas tentang ketegangan diplomatik baru-baru ini antara Rusia dengan AS, khususnya pengusiran diplomat.
Menurutnya, tindakan sedemikian “tidak membawa ke mana-mana”.
Beliau mengesahkan bahawa operasi misi diplomatik kedua-dua negara akan kembali berjalan seperti biasa nanti. – BERNAMA-ANADOLU






