ARTIKEL

Datuk Ruslan Abdul Ghani dilantik sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) berkuat kuasa 1 September 2026.

Ruslan Abdul Ghani Dilantik Sebagai Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berkuat Kuasa 1 September 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Datuk Ruslan Abdul Ghani dilantik sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) berkuat kuasa 1 September 2026.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara selepas kontraknya tamat pada penghujung Oktober 2026.

Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki berkata, pelantikan itu sesuai dengan pengalaman kepimpinan beliau yang luas, visi strategik serta rekod pencapaian terbukti dalam melaksanakan transformasi merentasi organisasi yang kompleks.

“Ia sekali gus mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah dengan kemampuan beliau memimpin syarikat tenaga itu menuju fasa pertumbuhan seterusnya.

“Kepakaran beliau dalam sektor tenaga dan infrastruktur, digabungkan dengan komitmen tinggi kecemerlangan operasi serta kemapanan membolehkan Sarawak Energy terus memajukan strategi jangka panjangnya serta menyokong aspirasi tenaga boleh diperbaharui Sarawak.

“Kita yakin peralihan kepimpinan ini tidak akan menjejaskan operasi, keutamaan strategik atau komitmen syarikat dalam membekalkan tenaga yang andal, mapan dan mampu milik kepada pelanggan, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ruslan akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 1 November 2026 susulan persaraan Sharbini selepas kontrak semasanya tamat pada penghujung Oktober 2026.

Sebelum ini, Ruslan merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad dan pernah berkhidmat selama 32 tahun bersama dengan PETRONAS dengan memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan di Malaysia dan peringkat antarabangsa, termasuk di Sudan, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Turkmenistan.

Beliau merupakan seorang jurutera terlatih dengan memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari Universiti Warwick, United Kingdom serta mempunyai pengalaman luas melebihi 30 tahun dalam sektor tenaga dan infrastruktur.

Sepanjang menerajui Bintulu Port Holdings, beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan pemindahan pemilikan pelabuhan daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, memacu transformasi organisasi, kecemerlangan operasi serta pertumbuhan mapan.

Sehubungan itu, Ruslan akan bekerjasama rapat dengan Sharbini dan Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan sepanjang dua bulan akan datang bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar serta teratur.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Sharbini atas khidmat bakti cemerlang dalam memacu SEB berkembang menjadi antara syarikat utiliti tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Asia Tenggara menerusi kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecemerlangan Sarawak Energy.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU