ARTIKEL

Roland Sagah ketika membentangkan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Foto Ghazali Bujang

RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dibentangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dibentangkan bagi memperkukuh dan memodenkan tadbir urus, fungsi serta pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak, selaras dengan peranan institusi itu yang semakin berkembang.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata RUU berkenaan bertujuan meminda Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999 [Bab 29] bagi memastikan kerangka perundangan sedia ada terus relevan dengan tanggungjawab Perpustakaan Negeri, khususnya dalam pemeliharaan rekod awam, arkib dan warisan sejarah Sarawak.

“Seiring dengan pembangunan dan transformasi pesat Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, sudah tiba masanya untuk meneliti semula kerangka perundangan yang mengawal selia Perpustakaan Negeri bagi memastikan ia terus menyokong peranan yang diharapkan daripada institusi tersebut pada masa kini,” katanya.

“Rang Undang-Undang pindaan ini bukan sekadar bertujuan mengemas kini peruntukan Ordinan Induk, tetapi juga menyediakan kerangka tadbir urus yang lebih jelas serta asas perundangan yang diperlukan bagi membolehkan Perpustakaan Negeri melaksanakan tanggungjawabnya yang semakin berkembang dengan berkesan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata ciri-ciri utama pindaan RUU itu ialah memperkenalkan dan menjelaskan peranan menteri yang bertanggungjawab terhadap Perpustakaan Negeri.

“Pindaan RUU ini juga meletakkan beberapa perkara berkaitan tadbir urus dan pentadbiran Perpustakaan Negeri di bawah tanggungjawab menteri, termasuk pelantikan anggota sementara lembaga dan pengerusi sementara; penerimaan peletakan jawatan anggota lembaga; pemberian fungsi tambahan kepada lembaga dan kelulusan bagi pelantikan serta penurunan kuasa tertentu kepada Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya.

Selain itu, Roland Sagah berkata pindaan RUU itu juga secara jelas memberi kuasa kepada Perpustakaan Negeri untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib memorial, yang merupakan penambahan penting kepada fungsi berkanun Perpustakaan Negeri.

“Sarawak mempunyai sejarah yang kaya, dibentuk oleh rakyatnya, institusinya serta peristiwa-peristiwa yang menyumbang kepada pembangunannya,” katanya.

“Seiring dengan peredaran masa, bahan-bahan yang berkaitan dengan sejarah tersebut, seperti dokumen, rekod, barangan peribadi dan bahan-bahan bersejarah lain, perlu dipelihara dengan sewajarnya demi manfaat generasi akan datang,” ujarnya.

“Arkib memorial boleh ditubuhkan bagi memperingati individu penting, peristiwa dan aspek lain dalam sejarah serta budaya Sarawak, termasuk tokoh terkemuka dan bekas pemimpin yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri,” jelasnya.

“Arkib memorial ini akan membolehkan generasi akan datang memahami dengan lebih baik tokoh, keputusan, peristiwa dan pengalaman yang telah membentuk Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pindaan RUU berkenaan bertujuan memperkemas dan menjelaskan struktur tadbir urus Perpustakaan Negeri dengan menggantikan kuasa yang dipegang oleh Lembaga Multimedia Sarawak kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menteri.

Katanya, di bawah pindaan yang dicadangkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, antara lain akan bertanggungjawab terhadap pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota lembaga yang lain, penentuan syarat pelantikan mereka serta pembatalan pelantikan tersebut apabila perlu.

Tambahnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga akan mempunyai kuasa untuk mengarahkan supaya harta kerajaan diletakhakkan kepada Perpustakaan Negeri dan meminda jadual-jadual kepada Ordinan Induk.

Roland Sagah berkata seterusnya, pindaan RUU itu menjelaskan kaedah harta kerajaan yang disediakan untuk kegunaan Perpustakaan Negeri boleh diletakhakkan kepada Perpustakaan Negeri dan bukannya kepada lembaga, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6 Ordinan Induk sedia ada.

Di samping itu, beliau berkata pindaan itu memperkenalkan seksyen 29A yang baharu bagi memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, melalui pemberitahuan dalam warta, untuk meminda jadual-jadual kepada Ordinan Induk.

Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999 mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1999 dan kali terakhir dipinda pada Disember 2019.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU