KUCHING: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan majoriti lebih dua pertiga iaitu 49 menyokong, hari ini.
Sementara itu, tiada yang tidak menyokong manakala lima orang tidak hadir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebelum ini RUU itu diluluskan Dewan Rakyat dengan majoriti lebih seramai 199 ahli Parlimen yang menyokong dan 21 orang tidak hadir.
Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, kedua-dua pembentangannya tersebut untuk mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah dengan pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pindaan perlembagaan melalui RUU (Pindaan) 2021 ini antara lain dapat memberikan manfaat yang dapat menjelaskan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan selaras dengan MA63.
“Ia turut memberi pengiktirafan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini tiada rujukan dibuat oleh undang-undang itu.
“Selain memberi pengiktirafan kepada ‘Hari Malaysia’ dengan dimasukkan ke dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan, manakala pindaan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A dapat mengembalikan hak dan kebebasan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan definisi “ras asli”,” katanya katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, ia bermakna definisi ‘ras asli’ tidak lagi tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan tetapi ditentukan oleh Kerajaan Sarawak melalui undang-undang Negeri secara mutlak.
Wan Junaidi memaklumkan beliau telah membuat sebanyak 15 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.