KUCHING: Cuaca panas di Bumi Kenyalang tidak mampu mengatasi kehangatan sambutan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 apabila ribuan pengunjung membanjiri hari kedua festival itu untuk menikmati persembahan muzik bertaraf dunia sambil menyelami kepelbagaian budaya.
Festival edisi ke-29 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun tersebut menampilkan lebih 200 penghibur dari 13 negara, selari dengan tema ‘Regenerations: Roots and Rhythms’ yang menjadikan tapak ikonik di kaki Gunung Santubong sebagai titik pertemuan warisan, kreativiti dan pertukaran budaya melalui muzik.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai tarikan disediakan untuk pengunjung termasuk Green Ruai yang membawa tema ‘Roots of Change, Future of Sustainability’.
Terletak berhampiran Rumah Gasing, Green Ruai berfungsi sebagai platform khusus kelestarian yang mempamerkan inovasi hijau praktikal, inisiatif berasaskan komuniti serta penyelesaian mesra alam yang menyokong hala tuju kelestarian festival secara lebih meluas.
Antara pameran yang diketengahkan ialah E-Penambang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di tasik Kampung Budaya Sarawak, yang mempersembahkan tafsiran mesra alam warisan pengangkutan sungai tradisional Sarawak.

Selain Green Ruai, festival itu turut menampilkan aktivasi gastronomi Rainforest Flavours di Global Village Pavilion, tawaran makanan dan minuman di seluruh tapak festival.
Pengunjung festival juga boleh menikmati kira-kira 50 vendor makanan dan minuman.
Selain itu, pengunjung festival berpeluang menyertai lebih 50 bengkel dan aktiviti di seluruh kawasan festival.
Ini termasuk bengkel muzik dan tarian, sesi bersama-sama artis, penceritaan budaya, demonstrasi kraf tradisional, aktiviti kesejahteraan, program mesra keluarga, persembahan budaya dan aktiviti berteraskan komuniti.
Lebih menarik, terdapat penjualan kraf tangan serta produk tempatan, selain bengkel kraf tangan yang membolehkan pengunjung mencuba sendiri penghasilan produk berasaskan budaya dan kreativiti.

Antara aktiviti yang menarik perhatian termasuklah membuat gelang, mewarna patung seramik kucing, anyaman tikar mini, membuat bunga jarau dan mewarna batik.
Aktiviti percuma ini turut memberi peluang kepada pengunjung membawa pulang hasil tangan masing-masing sebagai kenangan sepanjang menghadiri festival berkenaan.
Sehubungan itu, Suara Sarawak menemu bual beberapa pengunjung bagi mendapatkan pandangan mereka tentang pengalaman berada di Sarawak serta tarikan sepanjang RWMF tahun ini.
Bagi Amanda Solomon, 29, dari California, Amerika Syarikat, kunjungannya ke Sarawak kali ini merupakan yang kedua selepas pertama kali berkunjung ke negeri ini pada 2024.

“Saya memang mencintai Sarawak. Sebelum ini saya datang seorang diri dan selepas pulang, saya memberitahu suami bahawa dia juga perlu datang ke sini kerana tempat ini sangat menyeronokkan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut Amanda, masih ramai rakyat Amerika yang tidak mengetahui tentang Sarawak walaupun negeri ini mempunyai pelbagai tarikan unik.
“Saya teruja melihat semua orang menari, bergembira dan meraikan budaya masing-masing.
“Kadang-kadang kita fikir budaya di seluruh dunia sangat berbeza, tetapi festival ini menunjukkan semua orang boleh berkumpul dan saling berhubung walaupun datang dari benua yang berbeza,” jelasnya.
Sementara itu, Dexter Murray yang juga dari Amerika Syarikat berkata, dia hadir ke RWMF untuk menikmati persembahan muzik selain mengenali budaya masyarakat di Malaysia dengan lebih dekat.
“Kami datang untuk mendengar muzik daripada pelbagai etnik dari seluruh dunia, merasai budaya yang berbeza di Malaysia dan belajar mengenai masyarakat di sini.
“Ini merupakan kali pertama saya ke Sarawak walaupun sebelum ini saya pernah melawat Sabah,” kongsinya.
Dexter memaklumkan, tanggapan pertamanya terhadap Sarawak amat positif kerana masyarakat berbilang kaum hidup dalam suasana harmoni.
“Saya rasa masyarakat di Sarawak sangat menarik. Saya kagum melihat masyarakat Cina, Dayak dan Melayu hidup bersama-sama dengan begitu baik,” tambahnya.
Ujarnya, dia mengetahui tentang RWMF melalui isterinya, Amanda yang pernah berkunjung ke Kuching sebelum ini.
Dalam pada itu, Dexter menambah, sepanjang berada di Sarawak selama enam hari, dia mahu menikmati pengalaman baharu yang sukar diperoleh di negaranya.
“Saya tidak sabar melihat persembahan pada waktu malam, menyaksikan alat muzik yang tidak pernah saya lihat sebelum ini dan mendengar bunyi yang baharu bagi saya. Saya juga mahu menyertai aktiviti dan bengkel yang diadakan,” kongsinya dengan penuh teruja.
Katanya lagi, walaupun Amerika Syarikat juga mempunyai masyarakat yang pelbagai, pengalaman di Sarawak sedikit berbeza kerana budaya di sini lebih banyak dikongsi bersama.
“Di sini saya melihat masyarakat Cina memainkan alat muzik Dayak dan orang Melayu mempersembahkan tarian Dayak. Di Amerika, budaya lebih terpisah mengikut komuniti masing-masing. Saya rasa perkara itu sangat menarik,” ujarnya.
Bagi Aira Farisa, 35, dari Shah Alam, kunjungannya ke Sarawak kali ini merupakan yang ketiga dan dia mengakui RWMF menjadi antara sebab utama dia kembali ke negeri ini.
Menurutnya, dia mengetahui tentang RWMF menerusi Facebook selain mendapat galakan daripada rakannya yang pernah menghadiri festival itu pada 2023.
Sementara itu, Nur Irfanie, 40, yang juga dari Shah Alam berkongsi, pengalaman menghadiri RWMF sebelum ini membuatkan mereka mengambil keputusan untuk kembali lagi pada tahun ini.
Menurutnya, kali ini mereka datang lebih awal supaya dapat menerokai keseluruhan kawasan festival serta menyertai lebih banyak bengkel dan aktiviti.

