KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 bakal tampil dengan kelainan menerusi penekanan terhadap elemen kelestarian selain penyertaan artis antarabangsa baharu dari beberapa negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting berkata, festival berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun itu bukan sekadar persembahan muzik, malah menjadi platform mempromosikan inisiatif hijau dan budaya Sarawak kepada pengunjung.
“Kami memberi tumpuan besar kepada aspek kelestarian dengan sokongan penaja seperti Solarvest.
“Malah, tasik di lokasi festival turut digunakan bagi mempamerkan sampan solar dan pelbagai inovasi lain untuk menunjukkan keunikan Sarawak,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penghargaan Penaja RWMF 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Morshidi Fredrick dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh.
Sebastian berkata antara tarikan utama festival itu ialah sesi bengkel interaktif yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara dekat dengan penghibur sepanjang acara berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Katanya, festival itu turut melibatkan penyertaan BIMP-EAGA menerusi penyediaan makanan antarabangsa selain artisan dan makanan tempatan.
“Ramai masih menganggap RWMF hanya mengenai muzik sedangkan festival ini menawarkan pelbagai pengalaman budaya dan gastronomi.
“Tahun ini, festival menjadi lebih menarik dengan penyertaan vendor antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengesahkan kehadiran baginda ke festival tersebut manakala Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkemungkinan turut hadir.
“Kami amat berbesar hati kerana ini merupakan kali kedua Sultan Selangor hadir selepas baginda menghadiri RWMF 2024 ketika persembahan Kitaro,” katanya.
RWMF 2026 turut menampilkan kumpulan muzik dari Uzbekistan, Mongolia dan Korea selain tiga artis utama iaitu Datuk M. Nasir, kumpulan The Commodores dan Incognito dari United Kingdom.
Selain itu, persembahan artis dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terus diketengahkan bagi mempromosikan identiti Borneo kepada pengunjung antarabangsa.
Sebastian menjangkakan RWMF 2026 akan menarik lebih 23,000 pengunjung selepas festival itu merekodkan kehadiran tertinggi sebanyak 26,000 pengunjung pada 2024 manakala tahun lalu sekitar 22,000 orang.



