KUCHING: Kehadiran lebih 10,000 pengunjung ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 sejak semalam membuktikan ia kekal sebagai nadi pelancongan budaya Sarawak, menggamit peminat muzik dari dalam dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan penganjuran edisi ke-28 festival itu bukan sahaja dinilai dari segi jumlah kehadiran, tetapi juga penyertaan dalam aktiviti kebudayaan, jualan makanan, kraf dan sambutan dalam kalangan pengunjung luar.
“Saya anggap ia satu kejayaan. Kita juga dapat melihat peningkatan pembelian tiket oleh pelancong dari luar Sarawak.
“Malah, ada trend baharu tahun ini apabila ramai yang hadir bersama-sama keluarga, termasuk anak-anak kecil, dan ini amat baik kerana ia menunjukkan bahawa RWMF 2025 merupakan ruang selamat dan sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke RWMF 2025, di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.
Menurutnya, sifat inklusif RWMF menjadikan ia platform sosial yang mempertemukan keluarga pelbagai latar belakang dalam suasana yang santai dan penuh budaya.
“Mereka tahu jenis muzik yang dipersembahkan di sini sesuai untuk semua generasi, baik muda mahupun yang lebih berusia. Inilah kekuatan festival,” jelasnya.

Mengulas cadangan membawa jenama RWMF ke luar Sarawak, Abdul Karim berkata pihaknya tidak bercadang mengkomersialkan festival tersebut sebagai francais luar negeri.
“Kita tidak melihatnya dari sudut komersial kerana kita sedaya mungkin mahu RWMF terus kekal di Sarawak.
“Kalau dilihat dari sudut komersial, memang jenama ini sudah terkenal dan boleh difrancaiskan, tetapi itu bukan misi kita.
“Misi kita adalah untuk mempromosikan budaya dan memberi ruang kepada pemuzik etnik seluruh dunia untuk berkongsi pentas,” ujarnya.
Tambahnya, lokasi asal di Kampung Budaya Sarawak akan terus dikekalkan kerana ia menjadi lambang kepada lahirnya RWMF sejak penganjuran pertamanya yang hanya dihadiri kira-kira 300 orang.

