KUCHING: Penggunaan aplikasi kewangan mudah alih Sarawak, S Pay Global mencatatkan pertumbuhan menggalakkan apabila merekodkan RM5.21 bilion nilai transaksi menerusi lebih 138 juta urus niaga setakat 15 Jun 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, aplikasi yang dikendalikan oleh SiliconNet Technologies dan diiktiraf Bank Negara Malaysia itu kini mempunyai lebih 1.58 juta pengguna berdaftar serta 94,700 peniaga.
“Sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara platform e-dompet paling dominan di Sarawak,” katanya pada Persidangan Teknologi Digital Nexus 2025 (DigitalNEXUS) anjuran UNIMAS di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Syed Mohamad Fauzi Shahab.
Tambah Julaihi, antara ciri utama S Pay Global termasuk pembayaran kod QR, pindahan dana, kupon diskaun, pembayaran pinjaman pelajaran, tempahan makanan, sumbangan derma, bayaran insurans serta pembayaran parkir bagi menyokong ekosistem ekonomi digital tanpa tunai yang inklusif dan menyeluruh.
Seiring pertumbuhan pesat transaksi digital ini, Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) turut mengambil langkah proaktif membangunkan Rangka Kerja Tadbir Urus dan Pengurusan Data negeri bagi memanfaatkan potensi Data Raya (Big Data), katanya.
“Sejak pertengahan 2024, SMA menerajui pembangunan rangka kerja tersebut dan laporan akhir telah menyarankan beberapa pembaharuan penting termasuk penstrukturan semula tadbir urus, strategi pelaksanaan serta keperluan reformasi perundangan.
“Pelaksanaan pelan tindakan secara berfasa akan bermula tahun ini, merangkumi pembangunan dasar, latihan kapasiti dan pelaksanaan operasi, langkah penting menjadikan Sarawak sebagai negeri perintis dalam pengurusan data secara bersepadu dan beretika,” katanya.
Dalam perkembangan lain kata Julaihi, satu lagi inisiatif transformasi yang sedang membentuk masa depan Sarawak ialah Taman Teknologi Hijau Kota Petra (KPGTP) di Kuching dan meliputi keluasan 3,000 ekar.
Projek pembangunan yang bercita-cita tinggi ini dijangka menjadi hab utama bagi industri hijau, pusat data, teknologi canggih dan pertumbuhan mampan, katanya.
“Terletak secara strategik berhampiran Taman Perindustrian Demak Laut dan Pelabuhan Senari, KPGTP berada pada kedudukan ideal untuk berhubung dengan pasaran serantau dan global.
“Antara ciri utamanya ialah ladang solar berkapasiti 300 megawatt, menjadikannya salah satu projek tenaga boleh diperbaharui yang paling berwawasan di rantau ini,” katanya.




