SABAH FC melonjak ke tangga ketiga Liga Super 2023 setelah menumbangkan Selangor FC 2-1 dalam aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam kelmarin.
Sabah memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-24 melalui sepakan penalti Saddil Ramdani.
Kedua-dua pasukan masing-masing kemudian cuba mengatur serangan namun gagal menembusi gawang gol pasukan lawan sehingga wisel separuh masa ditiup.
Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Mohamad Faisal Abdul Halim berjaya menewaskan penjaga gol Sabah menerusi sepakan kencang luar kawasan kotak penalti pada minit ke-51.
Permainan kian rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan kapten pasukan Sabah Baddrol Bakhtiar menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-66.
Sementara itu Kuala Lumpur (KL) City FC turut memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri selepas menewaskan PDRM FC 3-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Tiga gol City Boys menerusi Romel Morales pada minit ke-14, Paulo Josue (minit ke-26) dan Kipre Tchetche (minit ke-87) sudah memadai buat skuad itu membawa pulang tiga mata penuh.
Sementara itu, hasrat Kuching City FC untuk menamatkan kemarau kekalahan pasukan selepas mengharungi 10 perlawanan liga terbantut selepas tewas 2-1 kepada Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown.
Kuching City membuka tirai jaringan menerusi Abu Kamara seawal minit ke-14 sebelum dibalas dua gol tuan rumah menerusi Khairul Akmal Rokisham pada minit ke-45 dan Soony Saad pada minit ke51. – BERNAMA


