PELAN hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030) merupakan kesinambungan visi seorang pemimpin yang tekad membawa Sabah keluar dari kepompong kemelut lama ke arah pembangunan sosioekonomi yang lebih bermaruah.
Hala tuju SMJ 2.0 (2026 – 2030) diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 30 Januari lalu.
“Sabah Maju Jaya” asalnya daripada cogan kata rasmi Jata Negeri Sabah dan “Maju Jaya” juga sebahagian dari baris dalam lagu kebangsaan negeri Sabah, “Sabah Tanah Airku.”
“SMJ” bukan sekadar akronim teknikal kerana setiap pecahan hurufnya membawa perincian.
“S” mewakili sektor utama ekonomi Sabah yang merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Hala tuju SMJ bertekad memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan hasil sara diri dan komoditi, memperkasakan sektor pembuatan dan perindustrian serta memperkukuh sektor pelancongan di Sabah.
“M” merujuk kepada modal insan dan kesejahteraan rakyat dengan penekanan diberikan kepada pembangunan kapasiti penduduk Sabah menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyediaan rumah mampu milik serta pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial untuk golongan rentan.
Dalam SMJ 1.0 sahaja, Kerajaan Sabah membelanjakan RM1.3 bilion untuk ini.
“J” pula merujuk kepada jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang memfokus kepada pembangunan fizikal yang seimbang dengan alam sekitar.
Ini merangkumi pembangunan lebuh raya, jalan luar bandar dan utiliti (air dan elektrik), peningkatan capaian digital (Internet) serta pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Untuk yang ini, Kabinet Sabah telah meluluskan 60 peratus daripada hasil tuntutan 40 peratus hasil daripada Sabah itu akan diperuntukkan untuk ini.
Ini semuanya nampak berkaitan dengan isu kemiskinan digital dan keterjaminan makanan yang merupakan keutamaan mendesak ketika pandemik COVID-19.
Menoleh ke belakang (tahun 2020), ketika Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, dunia sedang “merundum” akibat pandemik COVID-19.
Pastinya memori kita masih segar dengan fasa PKP (MCO).
Detik ketika kita bekerja dari rumah, anak belajar dari rumah atau erti kata lain, rumah menjadi pejabat dan sekolah.
Ruang gerak kita terbatas dalam tembok sendiri sehinggalah sekitar September 2021.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang diadakan pada 26 September 2020.
Seperkara penting yang mungkin perlu diketengahkan di sini adalah GRS yang dulu (ketika itu) bukannya seperti sekarang.
GRS ketika itu diumumkan selepas penamaan calon terdiri daripada PN, BN dan PBS (sementara SAPP dan STAR merupakan sebahagian daripada PN).
Maklumlah, politik Sabah sentiasa dinamik dan sukar diramal.
Keadaan ini sering kali dicirikan oleh penjajaran semula politik yang didorong oleh politik pragmatisme demi meneruskan kelangsungan agenda pembangunan negeri.
Hajiji pernah cuba menyatukan semua parti lokal di bawah satu payung besar (GRS) demi mengukuhkan identiti Sabah First.
Jangan terkejut nama GRS mirip nama GPS dan begitu juga slogannya yang sepertinya diambil dari Sarawak First.
Biarpun Sarawak yang duluan mempunyai slogan Sarawak First (Sarawak Diutamakan) yang membawa maksud “menjaga rumah kita sendiri dahulu” dan menjadi teras perjuangan.
Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sabah juga mempunyai Sabah Forward (Sabah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Sejahtera) dan Sabah United (Sabah Bersatu) selain Sabah First (Sabah Diutamakan) sebagai salah satu daripada empat tonggak utama yang menjadi pentadbiran di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Langkah merencanakan sebuah blok politik lokal bukan sahaja demi menjamin kestabilan tadbir urus, malah menjurus ke arah merealisasikan aspirasi pembentukan Blok Borneo.
Begitupun, langkah yang menyerupai formula Sarawak itu nyata sukar dilaksanakan sepenuhnya ekoran landskap politik Sabah yang bersifat ‘fragmented’, dengan setiap entiti dilihat lebih cenderung mengutamakan survival politik individu dan perebutan kuasa yang berterusan.
Mungkin itu jugalah yang dimaksudkan dengan “lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya.”
Pengalaman PRN-17 Sabah baru-baru ini berkecenderungan besar mengubah hala tuju politik parti lokal Hajiji dan GRS.
Sejarah tidak menipu, tetapi manusia sering tertipu.
Hajiji belajar dengan harga yang mahal.
Tiket parti lokal bukanlah jaminan kesetiaan, itulah harga sebuah kepercayaan.
Pahit tapi benar, label parti tempatan di Sabah hanyalah topeng untuk memperdagangkan kuasa.
Pengajarannya mudah, berhati-hati jika ada pemegang taruhnya mempunyai tabiat makan kawan.
Hati-hati dengan yang pandai berwayang.
Tidur sekatil, mimpi lain-lain.
Nampak bersama tapi di belakangnya seperti gunting dalam lipat.
Baru sedar ada individu yang mahu mendapat faedah daripada kawan, tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan sulit dengan musuh yang akhirnya merosakkan organisasi dari dalam demi kepentingan diri.
Begitupun beliau (Hajiji) tidak memilih naratif retorik, mengelak “blame game” (penyalahan), mengetepikan politik balas dendam, fokus kepada perdamaian dan rekonsiliasi politik dengan memilih jalan eknokratik yang berpijak di bumi nyata untuk membawa keluar rakyat daripada kepincangan politik dengan fokus menyusun semula keutamaan negeri melalui SMJ 2.0.
Fokus utama diberikan terhadap pemerkasaan modal insan melalui sektor pendidikan dan TVET demi menjamin kelestarian peluang bagi anak-anak di luar bandar Sabah.
Kejayaan agenda ini yang amat bergantung kepada penyelesaian isu legasi infrastruktur mendorong Kerajaan Sabah memberi tumpuan terhadap penyelesaian isu bekalan air dan elektrik.
Ini juga yang dipercayai akan menjadi penanda aras utama penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Seiring dengan kemajuan fizikal juga aspek keterangkuman digital juga perlu diperkukuh bagi merapatkan jurang teknologi khususnya bagi membantu usahawan luar bandar terlibat secara aktif dalam ekosistem ekonomi digital yang lebih inklusif.
Tuntasnya, ketiga-tiga tiang seri ini bukanlah entiti yang berdiri sendiri, sebaliknya bersifat saling melengkapi dan berintegrasi antara satu sama lain.
SMJ 1.0 telah membuktikan keberhasilannya misalannya melalui pelaburan gergasi seperti Kibing Solar dan SK Nexilis dan fokus kini beralih kepada SMJ 2.0 untuk memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Sabah.
Langkah penting seterusnya adalah penyusunan semula Kabinet Sabah dengan menambah beberapa kementerian baharu yang sewajarnya berdasarkan bidang tujahan.
Adakah kementerian tersebut boleh selaras dengan model yang diguna pakai di Sarawak seperti portfolio yang lebih eksplisit untuk menjaga utiliti, pengangkutan dan kelestarian alam sekitar?
Nama jawatan Pembantu Menteri juga elok dipertimbangkan ditukar kepada Timbalan Menteri.
Mulakan dengan mengubal Perlembagaan Negeri Sabah untuk memberikan pengiktirafan sah kepada struktur kementerian dan perkenalkan enakmen baharu untuk membekalkan kuasa eksekutif dan bajet bagi membolehkan ia beroperasi mengikut undang-undang.
• Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung ialah penganalisis politik dan isu semasa terkemuka dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah.



