ARTIKEL

Sabah sedia contohi model kejayaan Sarawak pacu hasil negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keupayaan Sarawak memacu hasil pendapatan negeri menjadi penanda aras terbaik untuk dicontohi Kerajaan Sabah dalam usaha meningkatkan ekonomi wilayah berkenaan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Sabah perlu memastikan kestabilan politik yang mampan kekal terpelihara bagi merealisasikan aspirasi tersebut.

“Pada masa sama, Sabah perlu terus memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan negeri bagi mencontohi pencapaian yang telah dirintis oleh Sarawak,” katanya seperti dipetik portal berita Dayak Daily.

Beliau menjelaskan bahawa, hasil pendapatan Sarawak mencatatkan nilai RM10 bilion pada 2020 dan terus melonjak kepada RM13.5 bilion menjelang 2025, sekali gus muncul sebagai negeri dengan pendapatan tertinggi di Malaysia.

“Hasil negeri Sabah pula sekadar sekitar RM4 bilion pada 2020 dan kekal tidak berubah selama lebih sedekad sebelum meningkat kepada hampir RM7 bilion dalam tempoh lima tahun di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Justeru, kerajaan negeri berhasrat mengguna pakai pendekatan yang dilaksanakan Gabungan Parti Sarawak dalam menjana hasil serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Saya tidak malu untuk mengakui bahawa kami di Sabah mahu mengikut jejak langkah Sarawak,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut dipuji atas tindakan proaktif mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan isu berkaitan tenaga kesan konflik di Iran yang menyebabkan kos import meningkat.

“Tidak dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan peruntukan subsidi bagi diesel, petrol dan gas petroleum cecair untuk membantu mengurangkan beban pengguna.

“Tetapi kerajaan negeri mana yang pertama mengumumkan peruntukan tambahan untuk membantu rakyat? Tidak lain dan tidak bukan, kerajaan Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU