Sabar dan patuhi arahan sekatan pergerakan di rumah panjang, tegas Uggah

KUCHING: Penduduk di rumah panjang dinasihatkan untuk sentiasa bersabar dan tidak melakukan aktiviti sosial sepanjang tempoh sekatan pergerakan di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau sedia maklum sekatan pergerakan selama 14 hari itu amat sukar bagi penduduk rumah panjang kerana kebanyakan penduduk perlu berada di luar untuk bekerja.

“Justeru, saya berharap agar penduduk di rumah panjang untuk sentiasa sabar dan memberi kerjasama kerana ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan anda serta keluarga di rumah panjang itu,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, apabila arahan sekatan pergerakan sudah dilaksanakan, penduduk di rumah panjang tidak dibenarkan untuk keluar meninggalkan kawasan rumah panjang termasuk membeli keperluan dan makanan.

Katanya, terdapat pihak pengurusan yang akan menghantar semua keperluan makanan selama tempoh 14 hari itu ke setiap rumah panjang yang dikenakan sekatan pergerakan.

“Selain itu, anda tidak dibenarkan untuk berkumpul di ‘ruai’ atau di dalam bilik jiran lain yang sama di rumah panjang itu.

“Jika anda bergaul di dalam bilik yang ramai orang dan salah seorang daripada mereka itu sakit, ia boleh menyebabkan penularan Covid-19 berlaku,” tegas beliau.

Beliau turut mendedahkan, hari ini terdapat 74 kes dikesan di salah sebuah rumah panjang kerana tidak mematuhi arahan untuk tidak mengadakan aktiviti sosial.

Uggah menjelaskan, semakin banyak kes positif Covid-19 dikesan di kawasan rumah panjang berbanding awal penularan Covid-19 dan sekali gus menjadikan rumah panjang adalah kawasan hijau serta selamat.

“Tetapi ia tidak bermakna kebanyakan kes positif kini hanya berlaku di rumah panjang kerana di kawasan bandar seperti Sibu juga merekodkan kes positif yang tinggi dan penduduk rumah panjang juga pergi ke bandar.

“Sebab itu kita minta rakyat untuk memahami perkara ini kerana jika kita tidak berkumpul dan tiada program yang menyebabkan kita berkumpul, maka kita akan dapat mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak