ARTIKEL

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.

Sabar tunggu laporan DNA jasad ditemui di Jalan Setia Raja, Tabuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis meminta semua pihak bersabar menantikan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sampel jasad seorang wanita yang dijumpai di kawasan semak dekat Jalan Setia Raja, Tabuan di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata polis akan mengeluarkan kenyataan selepas pengesahan identiti mangsa dilakukan setelah proses bedah siasat dan pengecaman mayat selesai.

“Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kita masih menunggu laporan untuk pengesahan identiti.

“Dan motif kes juga dalam siasatan ketika ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Pada Ahad, Farhan berkata, seorang lelaki direman tujuh hari sehingga 22 Disember depan bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang wanita yang dijumpai meninggal dunia di kawasan semak di Jalan Setia Raja, Tabuan.

Suspek berusia 23 tahun terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman dan diluluskan bermula 15 hingga 21 Disember 2024, katanya.

“Suspek telah direman selama tujuh hari hingga 22 Disember ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil penahanan ke atas suspek, pihaknya turut menemui mayat yang hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Kuching,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kehilangan seorang wanita berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang sejak 5 Disember lepas.

Kali terakhir mangsa dilihat oleh ahli keluarga berjumpa dengan seorang lelaki yang juga merupakan lelaki warga tempatan.

Mangsa ketika itu memakai pakaian berwarna kuning, lengkap dengan aksesori emas, beg tangan, dompet dan telefon bimbit iPhone.

Berita tentang kehilangan mangsa telah dimuatnaik oleh ahli keluarga wanita berkenaan di laman Facebook berserta maklumat berhubung lelaki yang dijumpainya.

Ahli keluarga mangsa juga mendakwa telefon bimbit mangsa juga tidak dapat dihubungi sejak malam kehilangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU