KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan mengadakan sesi pemilihan pada Mesyuarat Agung Tritahunan pada pertengahan tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tahun ini merupakan tahun pemilihan bagi SABERKAS selaras dengan keperluan mesyuarat agung tiga tahunan organisasi tersebut.
Beliau berkata surat arahan telah diedarkan kepada semua unit dan cawangan SABERKAS di seluruh Sarawak bagi membolehkan mesyuarat tiga tahunan diadakan di peringkat masing-masing.
“Kita telah berbincang tentang tarikh mesyuarat peringkat negeri. Tarikh tersebut akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat tarikh yang paling sesuai.
“Kemungkinan besar ia akan diadakan pada pertengahan tahun ini, mungkin hujung Julai atau awal Ogos,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak ke-60 di sebuah hotel di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata SABERKAS akan menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS dari 1 hingga 3 Mei ini di Kuching dan Samarahan, selain meneruskan penganjuran program bubur lambuk di semua cawangan.
Katanya, jerayawara Bubur Lambuk yang merupakan program utama SABERKAS bertujuan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan bukan bersifat keagamaan.
“Program ini turut diadakan di kawasan yang majoritinya orang Dayak atau Cina seperti di Batu Lintang dan Batu Kawah di Kuching, yang turut menganjurkan jerayawara Bubur Lambuk.
“Melalui program ini, kita dapat menggerakkan belia untuk terlibat dalam program kemasyarakatan,” ujarnya.
Mengulas peranan SABERKAS dalam landskap politik negeri, Abdul Karim berkata pertubuhan itu sebelum ini tidak pernah gagal melahirkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.
Menurutnya, dalam pilihan raya negeri sebelum ini, jumlah calon yang berasal daripada SABERKAS adalah antara yang tertinggi.
Beliau berkata situasi itu mencerminkan tahap kepercayaan terhadap proses pembentukan kepimpinan yang dilaksanakan dalam SABERKAS merentasi latar belakang kaum dan komuniti.
“Ia menunjukkan bagaimana kita membentuk pemimpin tanpa mengira Melayu, Cina atau Dayak serta bagaimana mereka berinteraksi dan bersedia apabila dipanggil untuk berkhidmat,” katanya.




