SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu (SABERKAS) Sarawak memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin di negeri ini termasuk individu yang berpotensi diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).
Presiden SABERKAS Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pihaknya berasa bangga kerana SABERKAS menjadi antara pertubuhan yang melahirkan ramai individu untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Kita amat bangga sekali kerana saya berasa dalam semua pertubuhan yang ada di Sarawak, badan bukan kerajaan (NGO) SABERKAS yang melahirkan paling banyak calon untuk bertanding dalam PRN atau PRU.
“Apabila disemak, kita juga melihat lebih daripada 20 atau 30 peratus mereka yang duduk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah calon-calon daripada SABERKAS.
Walaupun tidak diumumkan, jika diperhalusi dari mana datangnya individu berkenaan, memang ramai antara mereka adalah daripada SABERKAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Sarawak Ke-18 di Hotel Kingwood, Sibu, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Karim menegaskan bahawa beliau berharap orang ramai tidak menyertai SABERKAS semata-mata dengan tujuan dipilih sebagai calon pilihan raya.
“Namun, setiap individu perlu melatih diri untuk mendekati serta terus menabur bakti kepada komuniti.
Apabila kita sentiasa melakukan perkara sedemikian, pucuk pimpinan akan menilai sama ada kita benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan khidmat atau sebaliknya.
“Daripada situ, sekiranya ada rezeki, seseorang itu berkemungkinan diangkat menjadi pemimpin yang lebih tinggi untuk membantu menjaga kawasan, serta menyumbang kepada pentadbiran negeri dan negara pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata pada 2020, terdapat pindaan terhadap Perlembagaan SABERKAS, iaitu 70 peratus daripada pemegang jawatan di peringkat unit, cawangan dan negeri hendaklah terdiri daripada mereka yang berumur 39 tahun dan ke bawah, manakala 30 peratus kuota diperuntukkan kepada pemimpin senior.
“Maka dengan itu, pada hari ini kita telah melihat tampilnya lebih ramai ahli belia dan kepimpinan belia yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang.
“SABERKAS harus bergerak seiring dengan perubahan belia semasa.
Maka dengan itu, ia harus bermula daripada kepimpinan yang menduduki serta memegang jawatan, sama ada di peringkat unit, cawangan serta negeri,” tegasnya.




