JULAU: Saberkas Cawangan Meluan terus mempergiat usaha mendekati masyarakat, khususnya golongan belia, menerusi penganjuran aktiviti sukan dan program kebajikan bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah penganjuran Pertandingan Badminton N.48 Meluan di Dewan Kompleks Sukan Julau, yang mendapat kerjasama Kelab Badminton Julau.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan 17 pasangan beregu lelaki yang bersaing bagi merebut gelaran juara, sekali gus menggalakkan pelibatan belia dalam aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.
Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM400 berserta trofi, manakala naib johan membawa pulang RM300 dan pemenang tempat ketiga menerima RM200.
ADUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, penganjuran kejohanan berkenaan mencerminkan komitmen Saberkas Cawangan Meluan dalam memperkukuh hubungan masyarakat, menyemarakkan budaya hidup sihat serta melaksanakan aktiviti kebajikan demi kesejahteraan penduduk.
“Dalam perkembangan sama, Saberkas Cawangan Meluan turut melaksanakan Program Saberkas Prihatin dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan.
“Seramai 15 penerima menerima bantuan berupa beras, telur, mi segera, kopi dan barangan dapur lain bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pengerusi Saberkas Cawangan Meluan, Jimmy Jarop, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pertubuhan berkenaan dalam menyantuni masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.



