SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) perlu terus menyesuaikan peranan dan pendekatannya dengan perubahan ekonomi, sosial serta pembangunan bakat bagi memastikan pertubuhan belia itu kekal relevan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa memerlukan SABERKAS melengkapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan baharu, khususnya dalam bidang yang menjadi pemacu ekonomi masa depan.
Jelasnya, sejak penubuhannya, SABERKAS melalui beberapa fasa kepimpinan yang menyaksikan pertubuhan itu berkembang daripada usaha menyatukan pertubuhan belia kepada penekanan terhadap latihan kepimpinan, ekonomi, teknologi dan pembangunan bakat.

“Keadaan sekeliling berubah dari semasa ke semasa. Sebab itu SABERKAS juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Sarawak Ke-18 di Hotel Kingwood, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pada era Tun Abdul Rahman Ya’kub, usaha dilakukan untuk menyatukan pertubuhan belia di bawah satu bumbung bagi melatih serta membentuk golongan muda menjadi insan yang bertanggungjawab.
Katanya, ketika era Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pula, penekanan diberikan kepada latihan kepimpinan menerusi pelbagai simposium dan forum, selain usaha membabitkan golongan belia dalam sektor ekonomi yang sedang berkembang ketika itu.
Beliau berkata, usaha pembangunan bakat turut diperluas kepada bidang industri berteknologi tinggi, termasuk menghantar belia menjalani latihan di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
“Selepas Allahyarham Tun Taib, saya diberi kepercayaan untuk memimpin SABERKAS dan kita turut memberikan penekanan kepada latihan daripada sudut pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain melihat bagaimana perubahan akan berlaku pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu penting kerana generasi muda perlu bersedia menghadapi perubahan ekonomi global yang semakin dipengaruhi teknologi, data dan keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Tambah Abang Johari, pembangunan bakat juga perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk memastikan Sarawak mempunyai generasi baharu yang mampu menerajui ekonomi negeri.
“Saudara sekalian, masa depan adalah dalam tangan saudara semua. Sebab itu kita perlu berani menghadapi perkara baharu dan menguasai teknologi terkini,” katanya.
Justeru, tegasnya, SABERKAS perlu terus menjadi platform melahirkan belia yang mampu mencipta perkara baharu, bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.
“Pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai pemain ekonomi yang lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global,” ujarnya.





