SIBU: Sebanyak 929 aktiviti dilaksanakan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dalam tempoh 31 bulan, sekali gus membuktikan komitmen pertubuhan itu menggerakkan aktiviti belia di seluruh Sarawak.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata aktiviti berkenaan dilaksanakan dari November 2023 hingga Jun 2026, merangkumi pelbagai program termasuk sukan, pendidikan, ekonomi, keusahawanan, wanita, sosial dan kemasyarakatan.
Tambahnya, jumlah berkenaan mencerminkan kesungguhan setiap cawangan SABERKAS dalam memastikan pertubuhan itu terus aktif serta dekat dengan masyarakat.
“Dalam satu tahun kita ada 365 hari. Jadi, kalau dalam satu tahun lebih daripada 300 program yang diadakan, itu adalah satu jumlah yang amat besar dan boleh kita banggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Sarawak Ke-18 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Kingwood, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata SABERKAS turut menyalurkan lebih RM1 juta setiap tahun kepada cawangan bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Katanya, setiap cawangan menerima sumbangan kewangan lebih daripada RM20,000 bagi melaksanakan program yang dirancang.
“Ini adalah kewangan daripada dalaman SABERKAS dan bukannya daripada sumber yang diberikan kerajaan,” jelasnya.
Menurutnya, sokongan kewangan berkenaan berjaya menggerakkan lebih banyak aktiviti khususnya yang memberi manfaat kepada golongan belia.
Jelasnya, keaktifan cawangan turut dapat dilihat menerusi penyertaan penuh semua 82 cawangan SABERKAS di seluruh Sarawak pada Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-18 kali ini.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding perhimpunan terdahulu apabila jumlah cawangan yang hadir lazimnya sekitar 40 atau lebih.
“Pada 2023, jumlah cawangan yang terlibat ialah 78, tetapi kali ini lengkap 82 cawangan.
“Ini menunjukkan kesetiaan dan minat cawangan terhadap aktiviti yang diadakan oleh SABERKAS,” ujarnya.
Mengulas mengenai perhimpunan kali ini, katanya setiap cawangan menetapkan tiga perwakilan dan dua pemerhati, bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai ahli mengambil bahagian dalam proses pemilihan dan persidangan yang diadakan setiap tiga tahun.





