ISU pencemaran alam sekitar masih berlarutan akibat sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah, sisa makanan serta minyak masak terpakai secara sembarangan.
Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan keindahan persekitaran, malah turut mengundang pelbagai penyakit dan menjejaskan kesihatan manusia.
Sampah seperti sisa makanan dan plastik yang tidak diurus dengan baik berpotensi menjadi tempat pembiakan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan lipas, malah boleh menjadi sarang reptilia berbisa seperti ular dan biawak.
Selain itu, pembuangan minyak masak terpakai ke dalam longkang atau kawasan terbuka boleh menyebabkan saluran tersumbat serta mencemarkan sumber air.
Menyedari hakikat ini, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Cawangan Astana mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Membuat Sabun Eko Wangi menggunakan minyak masak terpakai di Anjung Masjid Kampung Tunku, Petra Jaya, baru-baru ini.
Menurut Setiausaha PKMS Cawangan Astana, Siti Lidyawati Sahmat, bengkel tersebut bukan sekadar memberikan kemahiran asas membuat sabun, malah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa minyak masak terpakai masih boleh dikitar semula dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKMS berkata, kekurangan pengetahuan tentang kegunaan minyak masak terpakai menyebabkan ada dalam kalangan ma
syarakat membuangnya ke dalam longkang, sekali gus menjejaskan alam sekitar.
“Melalui bengkel ini, kami berharap masyarakat lebih memahami kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup hijau,” katanya.
Seramai 25 peserta, yang terdiri daripada golongan wanita, menyertai bengkel tersebut.
Bengkel itu dibimbing oleh sekumpulan fasilitator daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diketuai Noor’ain Aini.
Siti Lidyawati turut menyatakan rasa puas hati apabila para peserta menunjukkan kesungguhan yang tinggi sepanjang bengkel berlangsung.
Malah, terdapat peserta yang berjaya menampilkan kreativiti dengan menghasilkan sabun eko yang berkualiti dan setanding produk di pasaran.
”Andai setiap peserta terus mengamalkan kemahiran ini, sabun yang dihasilkan bukan sahaja boleh digunakan sendiri, malah berpotensi menjana pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Program, Othman Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada pihak UNIMAS atas kesediaan berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat.
Menurut beliau, program seumpama ini mampu menyokong usaha kerajaan dalam memasyarakatkan program kelestarian alam sekitar.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PKMS Pusat, khususnya Yang Dipertua, Datuk Dr Wan Ali Tuanku Madhi, yang banyak membantu dan menyokong program ini.
Salah seorang peserta, Fatimah Basri, menyifatkan bengkel tersebut sangat bermanfaat kerana memberikan pengetahuan baharu serta kesedaran bahawa minyak masak terpakai masih boleh digunakan semula untuk menghasilkan produk lain seperti sabun.
Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sukaneka bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.



