SAC Lukas Aket, ketuai JSJ Sarawak

KUCHING: Senior Asisten Komisioner (SAC) Lukas Aket menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu.

Anak jati Sarawak itu mengambil alih tugas daripada Asisten Komisioner (ACP) Zulfikar Mohd Ghazali, yang memangku jawatan berkenaan sejak 10 Februari lalu.

Serah terima tugas antara Lukas dan Zulfikar disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail pada majlis yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Justeru, Lukas dalam ucapannya berkata walaupun bukan tugas yang mudah namun dengan sokongan daripada semua pegawai JSJ Sarawak, beliau yakin dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Saya berjanji akan memikul tanggungjawab ini dengan jujur dan ikhlas demi kecemerlangan JSJ khasnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya.

“Saya akan terus menggunakan undang-undang sedia ada untuk mengekalkan keselamatan dan keharmonian di Sarawak,” katanya.

Manakala, Aidi berkata pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang perkhidmatan sebelum ini akan memberi kelebihan kepada Lukas untuk menerajui JSJ Sarawak.

“Saya berharap agar semua ketua jabatan khususnya pegawai-pegawai JSJ memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau (Lukas) bagi mengurangkan kes jenayah di Sarawak,” katanya.

Lukas sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik Risikan Perhubungan Antarabangsa Bukit Aman.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pegawai Penyiasat JSJ Sarawak serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dan juga di Johor.

Suara Sarawak