SIMANGGANG: Pelaksanaan 17 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) yang bernilai RM346.7 juta dijangka memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui pemerkasaan infrastruktur, sosial, ekonomi serta sektor pertanian.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Sesi Libat Urus dan Pemantauan Projek SADA yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menjelaskan bahawa pelaksanaan projek yang diluluskan oleh SADA itu bakal memacu pelbagai aspek pembangunan demi kesejahteraan penduduk setempat.
“Ini termasuk meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi baharu,” katanya pada Mesyuarat Sesi Libat Urus dan Pemantauan Projek SADA di sini, hari ini.
Untuk rekod, daripada jumlah keseluruhan itu, RM282 juta diperuntukkan bagi 10 projek utama yang melibatkan tujuh projek dalam peringkat perancangan, satu dalam pelaksanaan manakala dua projek telah pun disiapkan sepenuhnya.
Antara projek yang dirancang merangkumi pembinaan Jalan Basi, Simanggang Link Road, menaik taraf Jalan Akses Sri Aman serta penambahbaikan sistem perparitan di beberapa kawasan seperti Kampung Muhibah, Taman Tiara, Kampung Resak dan Pasir Panas.
Bagi projek yang sedang dalam pelaksanaan, ia melibatkan kerja menaik taraf jalan Guntong-Menalang, manakala dua projek yang telah siap merangkumi pembinaan jambatan merentasi Sungai Undop di Kampung Beleti serta pemasangan lampu isyarat di persimpangan utama Jalan Akses Sri Aman (Q7).
Dalam sektor sosial pula, sebanyak RM52.1 juta diperuntukkan bagi lima projek termasuk cadangan menaik taraf Dewan Bedah 3 serta pembinaan Blok Psikiatrik dan Blok Pakar di Hospital Sri Aman II.
Selain itu, projek lain melibatkan pembinaan Pusat Sokongan Sosial Komuniti Sri Aman Fasa 1, Pusat Khidmat Batu Lintang serta pemasangan papan iklan digital di bandar Sri Aman.
Manakala dalam sektor ekonomi, RM12.1 juta diperuntukkan bagi pembinaan 50 unit Industri Desa di Bandar Baru Sri Aman, manakala RM500,000 disediakan bagi Projek Rumah Burung Walit di bawah sektor pertanian.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas SADA Charlie Geling, Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan serta wakil daripada agensi kerajaan berkaitan.

