KUCHING: Sarawak Agrofest 2026 (SAF2026) menyasarkan kehadiran 800,000 pengunjung serta nilai jualan RM6.5 juta sepanjang penganjurannya dari 25 September hingga 4 Oktober ini di Lapangan Terbang Lama, Bintulu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata SAF2026 yang memasuki edisi keenam itu memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi sektor agro-makanan tempatan.

“Selari dengan tema ‘Menginovasi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan’, SAF2026 akan memperkasa teknologi pintar, automasi, digitalisasi serta pengukuhan rantaian makanan yang lestari.
“Inisiatif ini penting bagi mendepani cabaran sekuriti makanan, khususnya di Sarawak,” katanya pada sidang media SAF2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, majlis perasmian SAF2026 dijadual disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 28 September 2026, jam 10.00 pagi dengan sasaran kehadiran seramai 5,000 jemputan.
Beliau berkata, penganjuran sebelum ini berjaya mencatatkan jualan sekitar RM6 juta, sekali gus menunjukkan potensi besar SAF2026 sebagai platform pembangunan sektor pertanian negeri.
“SAF2026 bukan sekadar festival jualan, malah merupakan wadah kerajaan dalam memacu anjakan paradigma sektor pertanian daripada kaedah tradisional kepada pemodelan agriteknologi tinggi.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, fokus utama kita adalah untuk memastikan Sarawak memiliki ekosistem keterjaminan makanan yang lestari, sekali gus memartabatkan usahawan agro tempatan ke peringkat global,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran tahun ini tampil lebih komprehensif dengan menyediakan 14 laman pameran melibatkan pelbagai segmen pertanian dan agromakanan.
“Ia merangkumi Pavilion Pameran, AgroTrade, AgroFresh, AgroTech, AgroInput, Peladang e-Shop, Sarawak Kitchen, Laman Padi, Laman Ikan, Laman Nanas, Laman Komoditi, Laman Sagu dan Nipah, Laman Ternakan serta Laman Pertanian Pintar,” jelasnya.
Selain pameran dan jualan produk berasaskan pertanian, Rundi berkata SAF2026 turut menjadi platform mengiktiraf komuniti agro di Sarawak melalui penyampaian beberapa anugerah.
“Anugerah ini merangkumi Anugerah Ikon Agropreneur Sarawak 2026, Anugerah Agropreneur Belia Sarawak 2026, Usahawan Jaya Tanaman Makanan Terbaik dan Usahawan Jaya Industri Asas Tani Terbaik 2026.
“Selain itu, Usahawan Jaya Perikanan Darat Terbaik 2026, Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya Terbaik 2026 dan Penternak Jaya Terbaik 2026,” katanya.
Pada masa sama, ujarnya, Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS 2026) turut akan diadakan dari 3 hingga 6 Ogos ini di Imperial Hotel, Bintulu.
“Kongres edisi ketiga ini dianjurkan bersama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan tema ‘Feeding the Future, Fostering Sustainable Food’.
“Jualan ruang pameran kepada para usahawan akan dibuka secara rasmi mulai 2 Julai 2026,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak kementerian mengalu-alukan penyertaan warga Sarawak, pemain industri, pelabur domestik dan antarabangsa, selain syarikat swasta, usahawan serta pengusaha industri agromakanan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan sepanjang festival berlangsung.

