KUCHING: Individu yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan makanan dipelawa untuk menyertai program SAGO Incubator 2026 bagi membantu mereka mengembangkan bakat memasak dan membina perniagaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat berkata, perkara itu penting kerana perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi di Sarawak dalam mewujudkan peluang pekerjaan menyara keluarga dan memastikan ekonomi tempatan terus rancak.
Katanya, di negeri ini sahaja, lebih 90 peratus perniagaan ialah PMKS dan kebanyakannya beroperasi dalam sektor perkhidmatan termasuk perniagaan makanan dan minuman.
“Perniagaan kecil sering menjadi tempat lahirnya inovasi. Banyak syarikat yang berjaya hari ini bermula daripada dapur kecil, gerai kecil atau idea kecil yang berani diusahakan oleh seseorang.
“Disebabkan itu kita melihat inisiatif seperti SAGO Incubator amat penting kerana ia bukan sekadar menyediakan latihan tetapi juga bimbingan serta, yang paling penting, akses sebenar kepada pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SAGO Incubator 2026 di iCube Innovation Hub di ICOM Square di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SAGO Group Sdn Bhd Arif Abdul Rahman memaklumkan, program tahun ini menarik kerana peserta terpilih akan dibimbing oleh usahawan makanan berjaya termasuk Damith Senanayake, pemilik Ceylonese Restaurant; Marichelle Livan Lah, pemilik Lepau Restaurant; Mastika Jamali, pemilik Mom’s Laksa; serta Izuwan Rabaie, pengasas Boy Manok dan Saw Yee Ken, pengasas Billy Goat Coffee.
Hadir sama Pengasas iCube Innovation Sdn Bhd, Datuk Patrick Liew; dan wakil Warisan Kulinari dan Persatuan Kesenian Sarawak (CHASS), Laura Bara Sim.



