ARTIKEL

Dr Elena Chai merakam gambar bersama-sama peserta SAGO Incubator Kohort keempat. Foto Ramidi Subari

SAGO Incubator: Khasiat, Nilai Nutrisi Perlu Diberi Penekanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aspek khasiat serta nilai nutrisi makanan perlu diberi penekanan dalam pelaksanaan program Inkubator Gastronomi Sarawak (SAGO Incubator) pada masa akan datang.

Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern berkata, pada kohort program SAGO Incubator akan datang juga boleh mendapat manfaat daripada pelibatan pakar pemakanan atau pakar kesihatan bagi membantu usahawan memperkukuh nilai produk mereka.

Dr Elena Chai melawat ruang pameran perserta SAGO Incubator Kohort keempat. Foto Ramidi Subari

“Saya melihat masih ada ruang untuk penambahbaikkan. Sekarang kita menitikberatkan kesihatan. Mungkin pada kohort seterusnya kita boleh menjemput pakar kesihatan dan pakar pemakanan untuk membantu. Begitulah cara kita boleh mempromosinya,” katanya mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan pada Majlis Penutupan Sago Incubator Kohort Keempat di Ridgeway 11, Jalan Ong Tian Swee, di sini hari ini.

Dr Elena menyifatkan inkubator tersebut sebagai platform yang baik dalam memupuk kreativiti dan keusahawanan dalam kalangan anak Sarawak, khususnya dalam industri makanan.

Beliau turut menekankan peluang peserta untuk mengembangkan perniagaan melalui program pelancongan dan acara kebudayaan anjuran kementerian, dengan Sarawak menganjurkan lebih 300 acara setahun termasuk regata, festival dan sambutan komuniti yang memerlukan pelibatan peniaga makanan.

Dr Elena turut mendedahkan bahawa pusat gastronomi kementerian dijangka siap tahun hadapan, bersama dengan beberapa pusat kraf yang bakal dibangunkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan makanan.

Beliau menggalakkan peserta untuk memasukkan lebih banyak bahan dan cita rasa unik Sarawak dalam produk mereka termasuk berasaskan dabai dan laksa, sambil memuji produk inovatif seperti gelato gula apong.

Pada masa sama, beliau menasihatkan usahawan supaya melindungi produk mereka melalui pendaftaran cap dagang dan penjenamaan, selain memaklumkan bahawa kerajaan turut menyokong usaha mendapatkan pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) bagi produk tradisional Sarawak.

Sementara itu, Pengarah SAGO Group, Evelyn Teo berkata program SAGO Incubator berkembang daripada inisiatif akar umbi kecil kepada sebuah ekosistem yang semakin berkembang dalam menyokong usahawan makanan tempatan.

“Hari ini sangat istimewa bagi kami kerana ini kohort keempat. Untuk pertama kalinya, kami melihat ramai alumni kembali bukan sebagai peserta, tetapi sebagai mentor, pemilik perniagaan dan pemimpin komuniti,” katanya.

Antara alumni yang diketengahkan ialah pengasas Boy Manok, Iju Rabaie; pengasas Roselle’s Kitchen, Roselle Chai; serta pengasas Billy Goat Coffee, Yee Ken, yang kini telah mengembangkan perniagaan masing-masing dan kembali membimbing usahawan baharu.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU