Sagu hasilkan batik linut

KUCHING: Sarawak mencatatkan bilangan komuniti kraf sebanyak 1,935 orang merangkumi 916 usahawan kraf dan 730 tenaga pekerja dengan nilai jualan sebanyak RM30 juta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, bilangan ini akan terus meningkat dan memberi sumbangan kepada industri kraf negara dan industri pelancongan.

Katanya, Kraftangan Malaysia berjaya melaksanakan beberapa aktiviti pembangunan produk baharu dan produk yang fokus kraf tekstil tradisi seperti Songket Sarawak, tenunan Pua Karap dan Batik Linut.

Jelas Mohamaddin, Kraftangan Malaysia turut memperkenalkan penggunaan bahan baharu iaitu linut atau kanji sagu bagi memberi kelainan dalam penggunaan bahan dan teknik pemprosesan batik bagi tujuan komersial.

“Keunikan produk kraf Sarawak juga mendapat perhatian dan pengiktirafan antrarabangsa seperti beg anyaman Pihan hasil tangan komuniti kraf kaum Penan.

“Beg anyaman tersebut digunakan sebagai cenderamata untuk delegasi semasa program World Library and Information Congress 2018 di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya lagi, beberapa pekara telah dibincangkan pada Program Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Negeri Sarawak semalam iaitu cadangan penyediaan Dasar Kraf Tangan Negara, Galakan Penggunaan Produk Kraf Tempatan Bagi Sektor Awam dan Swasta, Perolehan Bekalan dan Perkhidmatan Bagi Kerja-Kerja Ukiran Kayu serta Penubuhan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengusaha Kraf Malaysia.

“Saya akan meneliti dan mengambil maklum mengenai usul dan pandangan dikemuka usahawan kraf,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sambutan Majlis Gawai Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak Kraftangan Malaysia, cawangan Sarawak Khamis lalu.

Program Libat Urus Usahawan Kraf Sarawak disertai 70 orang terdiri daripada usahawan kraf, agensi, persatuan, serta pemain dan penggiat industri kraf.

Program itu merupakan platform membincangkan dan mendapatkan pandangan, idea, saranan serta maklum balas secara menyeluruh berkaitan pembangunan industri kraf tempatan.

Turut hadir ke program tersebut ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Saraya Arbi.

Foto: Page Menarik Di Mukah Dan Dalat

Suara Sarawak