KUCHING: Kejohanan Futsal Wanita Piala Laser Light 2025 akan berlangsung di Pusat Sukan Riveria, Debak, dari 18 hingga 20 April ini dan dijangka menarik perhatian peminat tempatan.
Ketua Teknikal Kejohanan, Saiful Hanizam Suhaini, memberitahu bahawa kejohanan ini melibatkan 16 pasukan yang mewakili pelbagai kelab terkemuka dari beberapa bahagian negeri.
Pasukan-pasukan ini mempertaruhkan pemain yang pernah mewakili skuad negeri dalam kejohanan berprestij, dan persiapan rapi telah dilakukan untuk menghadapi kejohanan selama tiga hari ini.

“Kita menjangkakan saingan sengit sepanjang tiga hari kejohanan ini,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.
“Difahamkan bahawa kebanyakan pasukan menyenaraikan pemain berpengalaman yang pernah menyarung jersi pasukan negeri,” tambahnya.
Antara pasukan yang terlibat ialah Hilux Kacow FT, Mz Legasi, Avengers Romanoff, Tibak Baok, Fuerza FT, Tidalbore, Subzero, SSC Kuching A, SSC Kuching B, Nebulae FC, Dynamite, PCC FT, Blazers FC, MFC, Beenez FT, dan Ei8th United.
“Pasukan-pasukan ini mewakili kelab-kelab terkemuka dari Kuching, Betong, Kabong, Sarikei, Sibu, Mukah, Matu, dan Miri,” tambah Saiful.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) Debak dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS).
Hadiah menarik menanti tiga pasukan terbaik. Pasukan yang berjaya menduduki tempat pertama akan menerima wang tunai RM1,200 beserta piala dan pingat. Naib juara akan menerima wang tunai RM700 dan pingat, manakala dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM300 dan pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama.


