KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) terus memperkukuh peranannya dalam memacu transformasi digital negeri apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MoveNet Malaysia Sdn Bhd bagi meneroka peluang dalam inovasi perdagangan digital di sini, semalam.
Menurut kenyataan tersebut, kerjasama strategik itu bertujuan memperkasa ekosistem perdagangan digital Sarawak termasuk meneroka potensi pelaksanaan inisiatif Jendela Dagang Tunggal atau Single Trade Window (STW) bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam urusan berkaitan perdagangan.
MoU berkenaan menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan, perkongsian pengetahuan dan pertukaran kepakaran dalam usaha menambah baik penyelarasan proses perdagangan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman berkata bahawa kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda transformasi digital negeri.
“Melalui kolaborasi ini, kami ingin memahami dengan lebih mendalam bagaimana penyelesaian digital dapat mempertingkatkan fasilitasi perdagangan serta mengukuhkan koordinasi antara pihak berkepentingan.
“SAINS dan MoveNet Malaysia akan bekerjasama meneroka pelbagai pendekatan termasuk aspek konseptualisasi, perbincangan teknikal serta mengenal pasti kaedah terbaik dalam memperkasa perdagangan digital,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Majlis pertukaran MoU tersebut melibatkan Busiai dan Naib Presiden Kanan MoveNet Malaysia, Steven Lim Kee Seng, serta disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Rabu di sini.
Pertukaran dokumen itu berlangsung sempena PROTECT Sarawak 2026 yang merupakan sebuah persidangan antarabangsa yang memfokuskan kepada privasi data dan kepercayaan digital.



