ARTIKEL

Sains sukan sokong kesejahteraan guru dan pelajar hadapi cabaran baharu Pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu kesihatan dan kesejahteraan holistik dalam pendidikan perlu ditangani secara menyeluruh ketika guru dan pelajar berdepan tekanan baharu susulan perubahan landskap pembelajaran digital, peningkatan beban tugas serta kesan pascapandemik.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata komuniti sains sukan memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan guru dan pelajar kerana tahap kesihatan, motivasi serta daya tahan kedua-duanya saling berkait rapat.

“Golongan pendidik kini memikul beban tugas yang semakin berat, berhadapan dengan jangkaan baharu hasil pembelajaran digital serta cabaran berterusan dalam menyokong pelajar pascapandemik yang mempunyai keperluan akademik dan emosi yang pelbagai.

“Dalam masa sama, ramai pelajar berhadapan isu kurang aktiviti fizikal, tekanan, kebergantungan kepada skrin serta ketidakseimbangan akses kepada program sukan dan kesihatan, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Perkara ini menuntut komuniti sains sukan memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan guru dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee ketika merasmikan Persidangan Asia Pasifik ke-11 mengenai Senaman dan Sains Sukan (APCESS 2025) di sini, hari ini.

Sagah berkata, kekangan kemudahan di banyak sekolah, terutama di kawasan luar bandar Sarawak, menuntut pelaksanaan model aktiviti fizikal yang ringkas, kos rendah dan berimpak tinggi bagi memastikan kesejahteraan holistik pelajar terus terpelihara.

Menurutnya, pendekatan pelaksanaan model tersebut penting bagi merapatkan jurang akses kepada program kesihatan dan sukan antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Kita perlu meneroka aktiviti yang tidak memerlukan peralatan kompleks, namun mampu memberi kesan bermakna kepada perkembangan fizikal, mental dan emosi pelajar,” katanya.
Menjelaskan mengenai persidangan berkenaan, Sagah berkata ia membuka ruang kerjasama rentas disiplin melibatkan bidang sains sukan, pendidikan, psikologi dan teknologi dalam merangka penyelesaian inovatif berasaskan keperluan sebenar sekolah.

Beliau turut menekankan potensi penggunaan teknologi boleh pakai dan kecerdasan buatan (AI) dalam memantau tahap aktiviti fizikal serta kesejahteraan pelajar secara lebih bersepadu, dengan penekanan terhadap penggunaan data yang beretika dan selamat.

“Perbincangan, kerjasama dan inovasi yang terhasil daripada persidangan ini berupaya membentuk hala tuju pendidikan sains sukan bagi dekad akan datang, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berharap APCESS 2025 menjadi platform berkesan untuk mencetus idea baharu dan membina perkongsian strategik demi memperkukuh masa depan sains senaman dan sukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU