TAIWAN: Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) memperkukuh usaha memperkasakan transformasi digital Sarawak menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Trend Micro Malaysia Sdn. Bhd. yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber, keselamatan pengkomputeran awan, penyelesaian keselamatan bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta tadbir urus data.
MoU yang dimeterai pada 8 Julai lalu itu mewujudkan rangka kerja strategik bagi membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang lebih selamat dan berdaya tahan bagi menyokong agenda transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman berkata, kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh peranan SAINS sebagai peneraju transformasi digital Sarawak.
“Seiring dengan peluasan perkhidmatan kerajaan digital, aspek keselamatan siber, daya tahan infrastruktur awan dan perlindungan data perlu terus menjadi keutamaan.
“Menerusi MoU ini, SAINS akan meneroka teknologi keselamatan siber dan perlindungan awan yang lebih maju bagi memperkukuh perlindungan digital serta menyokong penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui kerjasama itu, SAINS dan Trend Micro Malaysia akan berkongsi kepakaran dalam pembangunan teknologi ‘Secure by Design’, memperkukuh perlindungan aplikasi berasaskan awan (cloud-native), memanfaatkan risikan ancaman masa nyata bagi menyokong proses membuat keputusan, selain meningkatkan perkhidmatan keselamatan terurus untuk melindungi data kritikal kerajaan.
Majlis pertukaran MoU berlangsung sempena lawatan kerja rasmi SAINS ke Taiwan dan disempurnakan oleh Busiai dengan Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh.
Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh ekosistem keselamatan digital negeri, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan Sarawak dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks selaras dengan aspirasi membangunkan kerajaan digital yang selamat, mampan dan berdaya saing.



