DALAT: Makanan tradisional Melanau, khususnya tebaloi, berpotensi dikembangkan sebagai produk premium yang mampu menembusi pasaran lebih luas, termasuk menjadi antara makanan ringan yang ditawarkan dalam penerbangan AirBorneo.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha mengangkat makanan warisan masyarakat Melanau perlu dipergiat menerusi penambahbaikan kualiti, pembungkusan dan strategi pemasaran bagi meningkatkan nilai komersial produk berkenaan.
“Selama ini, tebaloi yang dijual pada harga sekitar RM1 hingga RM2 sebungkus. Dengan kaedah penyediaan dan pembungkusan yang sesuai, ia berpotensi dipasarkan sebagai produk premium dengan harga antara RM5 hingga RM10,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Karnival Makanan Tradisional Melanau Daerah Dalat 2026 di Tebingan Sungai Dalat.
Mengulas lanjut, katanya, linut turut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai hidangan istimewa kepada pelancong yang berkunjung ke Dalat.
Ujarnya, usaha mempromosikan makanan tradisional itu perlu disokong kemudahan untuk mendapatkan hidangan berkenaan, termasuk menerusi pengenalan menu set yang menggabungkan linut, sambal, ulam dan ikan bakar.
Sehubungan itu, Fatimah menegaskan agar makanan tradisional perlu dipelihara dan didokumentasikan supaya tidak hilang ditelan zaman.
Beliau turut menyentuh mengenai masalah jalan bergelombang dan sempit yang menjadi rungutan penduduk Oya-Dalat.
Ujarnya, ia juga diberi perhatian menerusi projek naik taraf jalan sepanjang 18.2 kilometer dengan peruntukan RM204.75 juta.
“Projek ini melibatkan Jalan Oya-Dalat sepanjang 15.72 kilometer dan Jalan Oya Bypass sejauh tiga kilometer yang akan dinaik taraf daripada piawaian R2 kepada R3, termasuk penyediaan bahu jalan, dua bulatan serta sistem saliran bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Ini satu usaha yang sedang kita laksanakan secara berperingkat.
“Alhamdulillah, peruntukan sudah ada dan proses seterusnya melibatkan tinjauan, reka bentuk serta pelaksanaan projek,” jelasnya.
Pada masa sama, Fatimah menepis dakwaan segelintir pihak di media sosial yang mendakwa kerajaan mengabaikan isu laluan gelap di kawasan Oya dan Dalat sekali gus menegaskan projek pemasangan lampu jalan sebenarnya sudah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Pemasangan lampu jalan di sepanjang Jalan Oya-Dalat yang membabitkan 88 tiang dengan peruntukan RM380,000 hampir siap sepenuhnya dan telah menjalani pengujian pada 19 November lalu.
“Pakej pemasangan lampu jalan di kawasan Senau pula membabitkan 41 tiang dengan kos RM168,000 dan dijadualkan siap pada Disember 2026.
“Pakej seterusnya melibatkan laluan Dalat-Kekang dan Dalat-Medong dengan pemasangan 399 tiang lampu, membabitkan kos RM1,494,336.78, yang dijangka bermula pada Disember ini dan siap pada suku pertama 2027,” tambahnya.



