KUCHING: Peminat sukan tinju diseru membanjiri Stadium Tertutup Sri Aman untuk menyaksikan pertembungan dramatik barisan petinju handalan dari tiga buah negara pada 26 Ogos ini.
Presiden Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo menegaskan, perlawanan membabitkan petinju berkenaan untuk kategori profesional Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 Edisi Kedua.
“Aksi pertama membabitkan pertemuan petinju handalan Indonesia, Frengki Rohi dan Toshihiko Era Wba (ABF Champion) dari Jepun.
“Disusuli pertembungan petinju handalan Sarawak iaitu Daeloniel Mc Delon atau Kilat Boy menentang seorang lagi petinju Indonesia, Oky Akhbar.
“Perlawanan membabitkan empat petinju itu berlangsung pukul 8:00 malam,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Rahman menegaskan, dua perlawanan tersebut begitu dinantikan para peminat sukan tinju di negeri ini.
“Kesemua mereka mempunyai pencapaian terbaik masing-masing dan perlawanan bakal disajikan kelak pasti sengit,” tambah Rahman lagi.
Katanya, perlawanan antara Kilat Boy yang juga anak jati kelahiran Sri Aman dan Oky Akhbar pasti mencuri tumpuan.






