KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, tiga tahun lalu.
Tertuduh Abdul Karim Amrullah Ibrahim, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.
Dia melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 5.10 petang, 13 Jun 2020.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes,pada 13 Jun 2020, sekitar jam 5.10 petang pihak polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


