KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu secara berulang.
Tertuduh berusia 24 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, dia mempunyai tiga rekod lampau pada 5 September 2024 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan kali ini, dia didakwa mengambil dadah terlarang sekali lagi jenis methamphetamine dan amphetamine ketika ditangkap dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching, sekitar 7.05 petang, 8 Januari 2026.
Pendakwaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) daripada akta yang sama.
Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabit bersalah.
Manakala, Seksyen 39C (1)(b) akta yang sama membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan dia di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang lalu membawanya ke balai polis untuk siasatan.
Hasil ujian pertama saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



