MIRI: Lapan wanita warga asing ditahan selepas dipercayai bekerja sebagai GRO dan tiada permit kerja sah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira 12.05 pagi pada 4 Oktober itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan yang dijalankan ke atas premis berkenaan.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama-sama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun turut ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, lelaki tempatan terbabit ditahan untuk siasatan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.
“Manakala lapan wanita warga asing itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO,” katanya.
Menurutnya, lelaki tempatan itu direman selama dua hari hingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing terbabit ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri mengikut peruntukan undang-undang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.
“Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang membabitkan operasi premis hiburan.

