KUCHING: Sebagai langkah mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan menyokong ekonomi hijau di Sarawak, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) kini mengendalikan tiga loji perangkap metana, manakala sebuah lagi loji dijangka mula dibina pada awal 2026.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, inisiatif ini dilaksanakan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama mengurangkan impak alam sekitar akibat pelepasan gas rumah kaca.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kelestarian alam sekitar, malah turut mewujudkan aliran pendapatan baharu selaras dengan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber dan Sisa Lestari 2025,” tambahnya semasa ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Dalam pada itu, kata Rundi, SALCRA kini sedang memulakan pengeluaran gas asli termampat daripada biometana (BioCNG) melalui kemudahan perangkap metana, menggunakan pendekatan Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
BioCNG adalah gas asli hijau yang dihasilkan daripada sisa organik dan boleh menggantikan bahan api fosil.
“BioCNG menawarkan alternatif yang lebih bersih kepada diesel untuk penjanaan haba dan elektrik, sambil mengurangkan gas rumah hijau,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, SALCRA turut melaksanakan Sistem Pembuangan Pepejal dan Pemulihan Minyak (SRORS) di Kilang Minyak Sawit Bau, yang mula beroperasi pada Februari 2025.
“Sistem ini memulihkan minyak sisa daripada cecair buangan kilang minyak sawit (POME) dan tandan buah kosong (EFB) dan sesuai digunakan sebagai bahan asas untuk bahan api penerbangan lestari (SAF).
“Pelaksanaan sistem ini akan dijalankan secara berperingkat di kilang lain dengan pelaksanaan di Kilang Minyak Sawit Saratok dijadualkan bermula awal 2026,” katanya.
Mengulas isu rabies, beliau memaklumkan bahawa setakat 31 Oktober 2025, sebanyak 48 daripada 646 sampel haiwan disahkan positif rabies, dengan kes direkodkan di Kuching, Padawan, Bintulu, Bau, Sebauh, Asajaya, Lundu dan Belaga.
“Kebanyakan haiwan yang dijangkiti ialah haiwan peliharaan yang tidak divaksin dan dibiarkan berkeliaran.
“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bersama Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), pihak berkuasa tempatan dan agensi lain akan meneruskan program pembasmian rabies, termasuk memperkukuh kerjasama dengan rakan antarabangsa,” katanya.

