BINTULU: Perkhidmatan Komuniti Salvation Army Bintulu, baru-baru ini menganjurkan acara khas bertujuan memberi sokongan kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan di kawasan setempat.
Menurut Pegawai Kor Salvation Army Bintulu, Kapten Daniel Lim Ah Heng, acara tersebut merupakan usaha bertujuan memberikan bantuan praktikal dan membawa kegembiraan kepada mereka yang menghadapi cabaran kewangan.
Beliau berkata, Salvation Army terus menjadi harapan bagi ramai keluarga di Bintulu, dan program ini satu lagi contoh komitmen pihaknya memberi impak positif kepada masyarakat.
Acara tersebut turut disertai oleh Setiausaha Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bintulu, Tony Chiew, yang turut menyokong inisiatif tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan, agihan 60 pasang kasut baharu kepada kanak-kanak yang memerlukan, serta agihan 60 bungkusan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan.
“Bagi kebanyakan penerima, bungkusan makanan ini bukan sekadar hidangan, tetapi simbol harapan dan sokongan masyarakat setempat yang peduli terhadap mereka pada waktu sukar,” tambah Lim.
Lim menegaskan misi Salvation Army untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan dan program ini bukti komitmen berterusan pihaknya dmembantu golongan terjejas.
“Kami percaya memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan, terutama kanak-kanak merupakan pelaburan untuk masa depan masyarakat secara keseluruhan,” jelasnya.
Dengan fokus kuat terhadap pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak, Salvation Army Bintulu bertekad mencipta komuniti yang lebih baik dan berdaya tahan pada masa depan.
“Kami berharap dapat meneruskan usaha kami dalam menyokong masyarakat setempat, dan memperkukuh impak positif ini bagi generasi yang akan datang,” tambahnya.
Lim juga mengakui kepentingan pendidikan dan bertekad memastikan setiap kanak-kanak di Bintulu mendapat peluang berkembang maju dari segi akademik.
“Salvation Army Bintulu komited membantu memastikan semua kanak-kanak di kawasan ini mempunyai akses kepada sumber yang mereka perlukan untuk berjaya,” katanya.
Pertubuhan itu juga mengalu-alukan sokongan orang ramai yang ingin menyumbang atau membantu dalam apa jua cara.
Mereka yang berminat memberi sokongan boleh menghubungi Kapten Daniel Lim di talian 011-14029741.

