BINTULU: Prihatin terhadap nasib kanak-kanak mangsa kebakaran di Rumah Lapie Lai, Sungai Binai, Jalan Ulu Sebauh, Salvation Army Bintulu tampil menghulurkan sumbangan berupa kasut baharu kepada pelajar yang terjejas dalam kejadian yang berlaku pada 20 Mac lalu.
Penyerahan sumbangan ini dilakukan selepas perbincangan antara pihak Salvation Army Bintulu dan Tuai Rumah Lapie Lai mengenai keperluan utama keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut.
Menurut Pegawai Kor Salvation Army Bintulu, Kapten Daniel Lim, sumbangan kasut itu bertujuan untuk meringankan beban keluarga dan memberi motivasi kepada pelajar agar terus bersemangat dalam meneruskan persekolahan walaupun diuji dengan bencana.
“Kami berharap melalui sumbangan kecil ini, anak-anak ini dapat merasa bahawa mereka tidak keseorangan. Kasih sayang dan keprihatinan masyarakat sentiasa ada bersama mereka,” ujarnya.
Daniel menambah bahawa bantuan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Salvation Army Bintulu untuk memberikan sokongan kepada komuniti yang memerlukan, bukan hanya secara material tetapi juga sebagai dorongan moral untuk keluarga-keluarga bangkit semula.
Beliau turut menyeru masyarakat dan pihak korporat agar bersama-sama membantu meringankan beban mangsa kebakaran Rumah Lapie.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, sangat bermakna dan mampu memberi sinar harapan buat mereka yang sedang berdepan cabaran.
“Jika anda ingin menyumbang atau menjadi sukarelawan, anda boleh menghubungi saya di talian +60-11-14029741.
“Salvation Army Bintulu komited untuk meneruskan misi kemanusiaan ini dengan memberi perhatian berterusan terhadap keperluan keluarga mangsa agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” tambahnya.
Dalam insiden kebakaran sekitar jam 11:09 pagi pada 20 Mac lalu, 27 daripada 30 pintu rumah panjang di Lapie Lai musnah, menyebabkan kira-kira 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang.



