BINTULU: Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting dalam sektor logistik dan maritim apabila Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB) melancarkan Sistem Pagar Automatik Pintar (Smart Barrier Gate System) berasaskan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, menyifatkan inisiatif itu sebagai satu lonjakan besar ke arah pendigitalan operasi pelabuhan di Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab maritim serantau.


“Ini bukan sekadar pelancaran sistem pagar automatik. Ia adalah langkah transformasi yang menunjukkan kesungguhan kita dalam mendakap teknologi untuk memacu industri pelabuhan ke hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran sistem tersebut di Pelabuhan Perindustrian Samalaju, pada Rabu.
Menurut Majang, integrasi empat teknologi utama iaitu Optical Character Recognition (OCR), Rakaman Imej Pintar, Pengecaman Plat Nombor Kenderaan (LPR), dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) merupakan satu pendekatan holistik ke arah automasi sepenuhnya operasi kawalan akses di pelabuhan tersebut.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan sistem tersebut sebagai bukti kemampuan Sarawak untuk bersaing di peringkat global dalam sektor maritim dan logistik yang semakin mencabar dan dipacu teknologi.
“Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pemprosesan dan keselamatan, malah mengurangkan risiko kesilapan manusia.
“Ia juga mempercepatkan pergerakan keluar masuk kontena dan kenderaan logistik, yang penting dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan,” ujarnya.
Majang, yang juga ADUN Samalaju, turut memuji komitmen SIPSB dalam menjayakan inisiatif ini serta menggesa seluruh industri maritim dan logistik Sarawak untuk terus proaktif dalam penerokaan teknologi baharu selaras dengan aspirasi negeri menjadi pusat dagangan dan pelabuhan berdaya saing tinggi di rantau ini.
Tambahnya lagi, pelabuhan di Sarawak berperanan penting sebagai pintu masuk utama ke pasaran serantau dan global. Justeru, pelaburan dalam teknologi pintar seperti ini adalah strategi penting untuk kekal relevan dalam era digital.
“Apa yang kita capai hari ini adalah manifestasi sebenar bagaimana inovasi teknologi dan komitmen kepada kecemerlangan boleh melahirkan sesuatu yang luar biasa dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Sistem Pagar Automatik Pintar SIPSB yang baharu dilancarkan itu dijangka akan meningkatkan kapasiti operasi pelabuhan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam jangka panjang.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Ruslan Abdul Ghani; Naib Presiden Kanan Kewangan Kumpulan BPHB, Daiana Luna Suip; Pemangku Naib Presiden Kanan Operasi Pelabuhan Kumpulan BPHB, Matshalleh Mohammad Etli; dan Ketua Pegawai Eksekutif Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB), Sufri Bohari turut hadir.

