BINTULU: Transformasi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.70 Samalaju sepanjang 10 tahun membuktikan potensi kawasan itu sebagai hab perindustrian dan pintu masuk ekonomi baharu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata pelbagai projek pembangunan berskala besar, kemasukan pelaburan industri serta penambahbaikan infrastruktur berjaya mengubah landskap kawasan itu sejak 2016.
Beliau berkata, perkembangan itu turut memperlihatkan perubahan ketara berbanding keadaan pada 2016 ketika kawasan Samalaju masih dalam fasa awal pembangunan sebagai kawasan perindustrian baharu.
Menurutnya, antara projek penting yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan itu ialah pembukaan kilang ferroalloy pada Jun 2016, diikuti perkembangan industri lain termasuk operasi Press Metal yang turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya, pembangunan sektor perindustrian berkenaan bukan sahaja menarik pelaburan, malah membuka ruang kepada penyertaan tenaga kerja tempatan serta pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sepanjang tempoh 10 tahun ini, kita dapat melihat banyak perubahan berlaku di Samalaju.


“Pelbagai kilang dan projek industri telah dibangunkan, sekali gus menjadikan kawasan ini semakin penting dalam landskap ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak bagi DUN N.70 Samalaju di Rumah Sating Bundan, KM67 Jalan Bintulu-Miri, pada Isnin.
Majang berkata, beberapa lagi projek industri berskala besar turut dirancang dan sedang dibangunkan, termasuk projek kilang metanol serta metanol hijau yang berpotensi meletakkan Sarawak sebagai antara pemain penting dalam industri berasaskan tenaga bersih.
Katanya, pembangunan industri berkenaan memerlukan komitmen berterusan kerajaan serta keyakinan pelabur terhadap keupayaan Sarawak menyediakan infrastruktur dan persekitaran pelaburan yang kondusif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembangunan infrastruktur pelabuhan turut menjadi antara keutamaan kerajaan bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan perdagangan di Sarawak.
Menurutnya, penyerahan pengurusan pelabuhan kepada Kerajaan Sarawak pada September lalu ialah perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kawalan serta keupayaan negeri mengurus aset strategik berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan kerajaan negeri merancang pembangunan pelabuhan secara lebih menyeluruh, termasuk meningkatkan kapasiti pengendalian kargo dan memperkukuh kecekapan operasi.
Katanya, pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang juga dijangka menjadi antara projek infrastruktur utama bagi menyokong keperluan industri pada masa depan, dengan anggaran kos pembangunan antara RM25 bilion hingga RM30 bilion.
Selain itu, usaha memperluas kemudahan pelabuhan di Miri turut diteruskan menerusi projek sambungan sepanjang kira-kira enam kilometer yang memerlukan peruntukan tambahan sekitar RM200 juta.
Majang berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan penting bagi memastikan Sarawak mempunyai kemudahan logistik yang mencukupi untuk menampung peningkatan aktiviti industri, eksport dan perdagangan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kawasan Samalaju tidak hanya tertumpu kepada sektor perindustrian, sebaliknya perlu disusuli dengan peningkatan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Tambah beliau, sejak mula berkhidmat pada 2016, pelbagai usaha dilaksanakan menerusi pendekatan turun padang ke lebih 70 kampung dan rumah panjang bagi mengenal pasti keperluan penduduk serta menyelesaikan isu pembangunan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, hubungan rapat antara wakil rakyat, ketua masyarakat dan penduduk penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
Beliau berkata, kesinambungan pembangunan yang dirintis sepanjang sedekad lalu memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar Samalaju terus berkembang sebagai kawasan perindustrian strategik Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap sokongan rakyat terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan perancangan strategik dan pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan.


