KOTA SAMARAHAN: Ketua Jurulatih Samarahan, Ideris Untong mengakui kemenangan menjadi fokus utama pasukannya apabila berdepan ATM di Padang D, Petra Jaya petang esok (Sabtu).
Tiga mata mutlak terbabit amat penting untuk mengekalkan rekod tanpa kalah pasukannya selepas mengharungi tiga perlawanan kempen Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) Zon Selatan setakat ini.
“Tiga mata seterusnya menjadi buruan kami esok.
Segalanya bukan mudah kerana saya percaya pasukan lawan akan memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Ideris, beliau berharap pemain dapat menterjemahkan strategi yang akan diguna pakai esok dengan sempurna.
Dengan kata lain, beliau berharap formasi yang diguna pakai esok dapat menjurus kepada perolehan jaringan.
Dalam pada itu, Ideris menjelaskan bahawa tahap kecergasan pemainnya sedikit merudum ekoran sesi latihan yang sedikit terjejas disebabkan musibah jerebu.
“Ia bukan alasan untuk kami cuba mencetak kemenangan perlawanan petang esok,” tambah Ideris.



