KOTA SAMARAHAN: Pasukan Samarahan enggan mendabik dada meskipun memiliki kelebihan tiga gol menjelang perlawanan timbal balik Liga Premier Sarawak 2025/2026 menentang Miri di gelanggang lawan, 17 Januari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd Azri Johari, berkata kemenangan 3-0 yang diraih pada perlawanan pertama hujung minggu lalu masih belum menjamin laluan pasukan itu ke separuh akhir.
Menurutnya, Miri yang berstatus pasukan pencabar dan bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri dijangka bangkit dengan lebih agresif pada perlawanan kedua.
“Memang gembira dengan kemenangan selesa 3-0 yang diperoleh pemain ke atas Miri Sabtu lepas, namun masih ada baki 90 minit yang perlu dilalui. Saya percaya perlawanan kali ini pasti berbeza,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Azri menegaskan, pasukannya tidak akan membiarkan kelebihan yang dimiliki berubah menjadi sebaliknya dan akan mempertahankan setiap jaringan hingga ke wisel penamat.

Mengulas kemenangan ke atas Miri itu, beliau memuji komitmen dan semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan pemain Samarahan sepanjang perlawanan.
“Terima kasih kepada semua pemain. Komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan cukup hebat. Saya yakin mereka mampu mengekalkan prestasi tersebut bagi menghadapi perlawanan hujung minggu ini,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, tiga gol Samarahan masing-masing dijaringkan oleh Muhd Zarif Razali pada minit ke-30, Ahmad Mubin Hamlet pada minit ke-85 dan Awang Kamaruddin Awang Bohan pada minit ke-90 (+3).



