ARTIKEL

Abdul Karim (tengah) dan tetamu kehormat lain menampilkan poster SFCF 2026 pada sidang media SFCF, di Bangunan Baitul Makmur II, di sini, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI

Samarahan perkukuh kedudukan sebagai destinasi festival budaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2026 yang menyasarkan kehadiran 350,000 pengunjung dengan anggaran kutipan jualan melebihi RM500,000 bakal terus memartabatkan warisan gastronomi di Kota Samarahan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkembangan berterusan festival itu semakin penting dalam memperkenalkan keunikan budaya dan makanan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, selain mengukuhkan ekonomi tempatan.

“Sasaran 350,000 pengunjung ditetapkan bagi tempoh penganjuran dari 26 Jun hingga 5 Julai di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Desa Ilmu susulan kejayaan festival tahun lalu yang menarik kira-kira 300,000 pengunjung.

“SFCF yang kini memasuki penganjuran kali kelima ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan jumlah pengunjung meningkat saban tahun.

“Perkembangan ini sekali gus mendorong penganjur menambah tempoh penganjuran kepada 10 hari berbanding sembilan hari tahun lalu,” katanya.

Beliau, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED), berkata demikian pada sidang media SFCF 2026 di Bangunan Baitul Makmur II di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menggalakkan setiap bahagian di negeri ini menganjurkan sekurang-kurangnya satu festival makanan dan kebudayaan kerana acara seumpama itu terbukti mampu menjana pulangan ekonomi serta memperkukuh penghayatan budaya.

“Tahun lepas, peniaga-peniaga meminta tempoh festival ditambah beberapa hari lagi kerana mereka memperoleh hasil jualan yang baik,” jelasnya.

Justeru, Abdul Karim menjelaskan populariti SFCF yang semakin meningkat mencerminkan transformasi pesat Kota Samarahan yang kini berkembang daripada kawasan luar bandar kepada antara pusat bandar yang paling pesat membangun di Sarawak.

“Dari tahun ke tahun, kita melihat jumlah pengunjung terus meningkat dan suatu hari nanti, ia mungkin mencecah satu juta pengunjung seperti festival makanan dan kebudayaan utama lain di Sarawak,” ujarnya.

Abdul Karim bercakap pada sidang media SFCF, di Bangunan Baitul Makmur II, di sini, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI

Oleh itu, katanya, Kota Samarahan kini boleh dianggap sebagai lingkaran kepada Bandar Raya Kuching susulan pembangunan pesat kawasan berkenaan.

“Antara projek yang sedang dalam pembinaan ketika ini ialah Boulevard Samarahan yang dirancang sebagai lokasi penganjuran perayaan serta acara berskala besar pada masa akan datang.

“Perancangan ini juga mengambil kira keperluan lokasi baharu bagi penganjuran acara besar susulan kawasan sedia ada seperti Padang Merdeka sering mengalami kesesakan setiap kali berlangsungnya program,” kongsinya.

Beliau menambah, penyertaan SFCF dalam kalendar pelancongan Sarawak turut meningkatkan profil festival berkenaan, sekali gus membolehkan lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa merancang perjalanan mereka berdasarkan acara tersebut.

“Apabila sesuatu acara dimasukkan dalam kalendar pelancongan, statusnya akan meningkat.

“Pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Singapura dan Indonesia mungkin merancang percutian mereka untuk merasai sendiri pengalaman festival seperti ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata festival itu akan menampilkan lebih 80 reruai merangkumi peniaga makanan, minuman, pempamer korporat, usahawan di bawah MySED serta agensi kerajaan.

“Antara pengisian pentas termasuk pertandingan Ratu Kebaya dan Ratu Cilik Kebaya, Battle of Buskers, Samarahan Idol dan pertandingan Bertandak Melayu.

“Selain itu, pertandingan karaoke Cina serta persembahan artis tempatan dan jemputan termasuk Ukays, Winnie, Faris Malek, Nurhijrah, Rizal AF dan Mawat akan turut diadakan,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, aktiviti bukan pentas pula merangkumi larian malam, kejohanan e-sukan mudah alih, bola sepak jalanan, memanah tradisional, pertandingan tarian silat, pertandingan memasak, karom, pertandingan nanas terbuka, pertandingan lastik, pertandingan mewarna dan pameran kenderaan.

Untuk rekod, SFCF 2025 mencatat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung dan mencatat jualan sebanyak RM406,448 sepanjang 21 hingga 29 November 2025.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU